Khurafat tetap khurafat meskipun disulami ayat suci

Rentetan tular rakaman upacara ritual ‘Raja Bomoh’ Ibrahim Mat Zin bersama ‘Puteri Zaleha’ Suliaha Abdul Hamid untuk menolak musibah banjir pada tanggal 4 Januari lalu di Teluk Intan mengundang pelbagai reaksi dan menimbulkan persepsi negatif tehadap imej Islam.

Rakaman itu memaparkan amalan ritual tepung tawar menggunakan bahan seperti beras, kunyit, daun kayu dan bunga-bungaan.

Terdahulu pelbagai upacara dilakukan oleh Raja Bomoh itu antaranya mengesan kapal terbang MH730 pada 2014 menggunakan buah kelapa dan buluh yang dijadikan ‘teropong’.

Seterusnya pada 2017 ketika isu pembunuhan abang pemimpin Korea Utara iaitu Kim Jong Nam, penggunaan kelapa, buluh dan lima meriam buluh untuk melindungi negara daripada serangan nuklear oleh Korea Utara.

Selain itu, pada 2020 ritual memagar seluruh dunia khususnya Malaysia daripada wabak Covid-19 dengan cara tepung tawar dan renjisan menggunakan beras, kunyit, daun pandan, globe atau peta dunia dan teropong.

Namun, amalan berkenaan dilihat bertentangan dan bersalahan dengan ajaran Islam yang suci walaupun disulami bacaan ayat al-Quran, zikir, selawat dan doa.

Amalan yang dinyatakan di atas diharamkan oleh Kerajaan Negeri Perak sejak 2015. Pengharaman itu adalah di bawah Seksyen 36 dan Seksyen 37 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang bersidang pada 17 hingga 19 September 2014 memutuskan amalan perbomohan yang dilakukan oleh Raja Bomoh bertentangan dengan hukum syarak.

Pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada tarikh 9 Ogos 1996 mengeluarkan Garis Panduan Khurafat dan Azimat Menurut Perspektif Islam untuk diterima pakai di peringkat negeri di Malaysia dan dijadikan rujukan dalam mengeluarkan fatwa berkaitan pengharaman sesuatu ajaran terdapat unsur khurafat.

Khurafat ialah semua cerita sama ada rekaan atau khayalan, ajaran, pantang larang, adat istiadat, ramalan, pemujaan atau kepercayaan yang menyimpang daripada ajaran Islam. Khurafat juga merangkumi cerita dan perbuatan yang direka dan bersifat karut atau dusta.

Sementara azimat pula suatu bentuk permohonan untuk mendapatkan pertolongan atau bantuan bagi manfaat diri sendiri atau memudaratkan orang lain menggunakan objek dan ayat tertentu dianggap mempunyai kesaktian serta kuasa ghaib yang melampaui kekuatan semula jadi apabila dijampi atau dipuja.

Terdapat pelbagai impak negatif perbuatan khurafat sedangkan Islam mempunyai prinsip akidah yang sangat jelas dan tegas supaya masyarakat Islam terpelihara serta berada pada landasan benar.

Pertama, ia perbuatan syirik dan dosa besar. Perbuatan khurafat boleh menyebabkan seseorang tergelincir daripada akidah sehingga boleh membawa syirik iaitu mempersekutukan Allah SWT dengan sesuatu yang lain.

Islam melarang dan menolak kepercayaan kepada benda keramat, memuja, memohon pertolongan, melepaskan nazar dan percaya benda keramat mempunyai kuasa selain daripada Allah SWT adalah kerana membawa kepada syirik.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah tidak ampunkan dosa syirik sementara Dia memaafkan dosa yang lain. Maka sesiapa yang mempersekutukan (syirik) kepada-Nya sesungguhnya dia melakukan dosa yang besar.” Surah an-Nisa: 48

Sebaliknya, Islam mengajarkan supaya berserah diri dan bertawakal sepenuhnya kepada Allah SWT dalam berdoa serta berharap tanpa melalui suatu perantaraan pun.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) tiada sesuatu pun akan menimpa kami melainkan dengan ketentuan Allah. Dialah penolong kami maka hendaklah orang yang beriman itu bertawakal kepada Allah.” Surah at-Taubah: 51

Kedua, menjejaskan dan memburukkan imej Islam. Perlakuan dan amalan khurafat yang bertentangan ajaran Islam boleh mencemarkan kesuciannya.

Agama Islam adalah suci dan murni daripada sebarang penambahan dan pengurangan dalam beramal serta beribadah kepada Allah SWT. Islam mengajar dan mendidik supaya beribadah dengan cara mengikut sunah Nabi SAW sepenuhnya.

Nabi SAW memberi amaran dalam hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang mengada-adakan dalam agama kami sesuatu yang tidak ada di dalamnya maka yang dikerjakannya itu adalah tertolak.” Riwayat Muslim

Ketiga, mengundang kemurkaan dan bala daripada Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT memberi peringatan dan menjanjikan azab pedih kepada manusia bukan hanya kepada yang zalim, malah kepada golongan beriman juga.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan peliharalah dirimu daripada azab yang bukan hanya menimpa orang zalim dalam kalangan kamu sahaja dan ketahuilah Allah amat keras azab siksa-Nya.” Surah al-Anfal: 25

Seterusnya sebuah hadis bermaksud: Daripada Ummu Salamah dia berkata: Aku dengar Rasulullah bersabda: “Jika timbul maksiat pada umatku maka Allah akan menyebarkan azab (siksa) kepada mereka. Aku berkata: “Wahai Rasulullah, apakah tidak ada pada waktu itu orang soleh? Baginda menjawab: Ada. Aku bertanya lagi: “Apa yang akan Allah perbuat kepada mereka? Jawab baginda: Allah akan menimpakan kepada mereka azab sebagaimana yang ditimpakan kepada orang yang melakukan maksiat, kemudian mereka akan mendapat ampunan dan keredaan daripada Tuhannya.” Riwayat Imam Ahmad

Ayat dan hadis di atas mengingatkan sekiranya manusia melakukan maksiat dan menentang perintah Allah SWT maka Allah SWT akan menurunkan kehinaan dan kebinasaan sama ada di dunia mahupun di akhirat.

Keempat, mengakibatkan masyarakat mundur dengan khayalan yang sia-sia tanpa mendatangkan manfaat dan kebaikan.

Pembaziran masa, tenaga dan harta turut berlaku kerana masyarakat terperdaya dan fokus dengan amalan yang tidak bermanfaat. Amalan khurafat juga menyekat kebebasan akal berfikir secara logik dan sistematik.

Kemajuan atau kemunduran masyarakat Islam adalah bergantung kepada kualiti peribadi sama ada keimanan mahupun pemikiran. Sekiranya kualiti keimanan dan pemikiran masyarakat Islam baik, mereka akan mengalami kemajuan. Sebaliknya, jika kurang baik, mereka akan mengalami kemunduran.

Demikianlah, Islam adalah agama yang sangat mementingkan kemurnian dan kesejahteraan akidah yang benar serta tegas terhadap perkara yang boleh merosakkan dan membatalkan akidah.

Kerjasama dan sinergi pelbagai pihak berautoriti seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Mufti dan Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) untuk mendidik dan melakasanakan penguatkuasaan terhadap masyarakat Islam adalah penting demi menjaga kemuliaan serta kesucian ajaran Islam di Malaysia.

Penulis Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) – My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts