Memerdekakan negara dari fahaman liberalisme

USTZAMRI

 

Bulan kemerdekaan yang sepatutnya digunakan oleh semua rakyat Malaysia untuk memupuk  semangat cintakan negara telah teralih sedikit fokusnya kepada siri pergolakan samada pergolakan politik kepartian, ancaman yang semakin meningkat dari ekstrimis agama sehinggalah pergolakan yang berlaku seusai perlawanan bola sepak di stadium. Sudah tentu perbalahan ini telah menyibukkan kita dari fokus utama iaitu memperkukuhkan makna kemerdekaan yang hakiki.

Antara bentuk penjajahan selain penjajahan dalam bentuk ketenteraan ialah penjajahan pemikiran terhadap umat Islam. Ia berlaku di negara-negara umat Islam yang zahirnya telah merdeka dari penjajahan asing tetapi masih diserang ataupun masih terjajah dengan penjajahan cara berfikir. Cara berfikir yang salah akan melahirkan  tindakan yang salah juga. Serangan globalisasi bukan sekadar serangan dari sudut ekonomi dan budaya, bahkan ia juga membabitkan cara orang Islam berfikir menyelesaikan masalah kehidupan dalam kerangka agamanya.

Umat Islam yang sudah merdeka dari penjajahan asing cuba dipaksa menuruti formula yang ditemui di barat ketika mereka memajukan negara mereka. Mereka mendakwa fahaman agama, budaya dan struktur masyarakat perlu dibebaskan dari mengongkong masyarakat. Ini berlaku sekitar abad ke-16 sehingga abad ke-18. Sekelompok masyarakat bangun menentang institusi gereja yang dianggap sebagai penghalang kepada kemajuan hidup, mengekang kebebasan, pembangunan dan kreativiti manusia. Mereka menggunakan slogan yang mengujakan seperti moden, progresif , memperjuangkan hak kesamarataan jantina dan hak asasi manusia dan slogan-slogan yang lain.

Masyarakat muslim di negara-negara Islam cuba diyakinkan dengan kepercayaan jika ingin memajukan negara, mereka juga mesti melakukan “pembebasan” dari kongkongan Islam, budaya dan struktur masyarakat. Institusi-institusi Islam dan para ulamaknya cuba dipadankan dengan potret buruk yang pernah ditampilkan di barat oleh pihak gereja dan agamawan mereka. Sedangkan tidak berlaku dalam Islam, institusinya, mahupun ulamak-ulamaknya memusuhi para cendiakawan yang menggunakan daya kreativiti dan inovasinya untuk mengimarahkan alam dan kehidupan ini.

Bahkan umat Islam telah diamanahkan oleh Allah untuk menjadi khalifah di atas muka bumi ini dengan mengekalkan diri sebagai hamba-Nya. Para ulama Islam juga telah mencurah jasa kepada tamadun dunia dengan menjadi pelopor kepada kemakmuran kehidupan sejagat. Mereka bukan sahaja pakar dalam bidang-bidang fardhu kifayah seperti astronomi, perubatan, zoology dan sebagainya bahkan sebahagian mereka juga merupakan merupakan ulama yang pakar dalam bidang disiplin ilmu Islam.

Para ulama Islam pula tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan fatwa kerana mereka perlu patuh kepada garis-garis panduan yang sudah mapan (established) dan dipersetujui sejak zaman berzaman. Ilmu usul fiqh, ulum al-tafsir, ulum al-hadith dan sebagainya adalah contoh garis panduan kukuh lagi mapan yang mesti  digunakan untuk memahami Islam dari sumber asalnya iaitu al-Quran dan al-Sunnah.

Maka sepatutnya umat Islam di Malaysia wajib berbangga kerana mereka mempunyai jati diri sendiri dan mempunyai gambaran yang jelas bagaimana peranan agama dalam kehidupan. Mereka juga tidak keliru sempadan kuasa “ulama” dalam menentukan sempadan halal haram, dosa pahala mereka. Tiada pengongkongan, tiada halangan untuk maju, tiada sekatan untuk berinovasi dan berkreativiti, kaum wanita dimuliakan selama mana masih dalam kerangka yang dibenarkan oleh Islam hasil bimbingan para ulama yang terikat dengan garis-garis panduan yang ditetapkan tadi.

Umat Islam tidak perlu teruja dengan slogan-slogan golongan liberal yang mengujakan kerana apa yang mereka perjuangkan sangat berbeza latarbelakangnya dan sangat berbeza tabiat agama Islam dan agama Kristian. Faham liberalisme ini jangan dibiarkan menjajah cara kita berfikir kerana Islam telah sekian lama membebaskan pemikiran kita kerana Islam sahaja yang menawarkan pembebasan dan kemerdekaan yang hakiki.

Faham yang cuba melakukan rombakan (deconstruct) segala yang sudah mapan dalam Islam merupakan ciri penting aliran pemikiran ini. Ini diterjemahkan dengan mengangkat isu–isu yang sudah disepakati dan muktamad sejak sekian lama lagi seperti penutupan aurat bagi wanita, isu mempersoalkan semula keautoritian al-Quran dan hadith-hadith sahih, meremehkan ilmu Islam yang telah mapan dalam disiplin ilmu Islam. Masyarakat diajak untuk menjauhi institusi agama dan ulama. Fatwa dan institusi mufti dimomokkan sangat berkuasa sehingga menyekat kebebasan berpendapat dan sebagainya.

Sahibus Samahah Ustaz Zamri Hashim
Timbalan Mufti Negeri Perak

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts