KUALA LUMPUR: Sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 2022, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan menganjurkan beberapa program melibatkan penyertaan masjid dan surau serta institusi pendidikan Islam di bawah seliaan JAWI.
Menurut kenyataan JAWI, antara program yang telah dirancang ialah Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat Khas di Masjid Jamek Kampung Baru pada 1 Februari 2022 (Selasa), selepas solat Maghrib secara serentak di seluruh masjid, surau Jumaat dan surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan.
Program tersebut juga akan diteruskan pada setiap hari Khamis sepanjang bulan Februari.
“Selain itu turut dianjurkan program dan aktiviti melibatkan pelajar-pelajar di institusi pendidikan Islam di bawah seliaan JAWI seperti bacaan Yasin dan Munajat, Pertandingan Mewarna dan Deklamasi Sajak serta Penulisan Jawi dan Khat.
“Turut dianjurkan Forum Ehwal Islam Khas pada 10 Februari 2022 (Khamis), selepas solat Maghrib di Masjid Wilayah Persekutuan dengan tajuk ‘Islam Dihayati, Wilayah Persekutuan Diberkati’ yang menampilkan penceramah tersohor tanah air,” kata kenyataan JAWI.
Pada 12 Februari 2022 pula, Forum Ehwal Islam di 4 buah masjid di Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dianjurkan bermula jam 8.00 malam serta bersiaran secara langsung di facebook rasmi JAWI.
Manakala Khutbah Jumaat Khas bertemakan ‘Keluarga Malaysia’ akan dibacakan di semua masjid dan surau Jumaat di Wilayah-Wilayah Persekutuan sepanjang bulan Februari bermula pada 4 Februari 2022.
“JAWI amat mengalu-alukan penyertaan masyarakat Islam terutamanya di Wilayah-Wilayah Persekutuan di dalam semua program yang dianjurkan selaras dengan norma baharu.
“Marilah kita semua berdoa dan bermunajat agar Allah SWT mengurniakan kesejahteraan dan kemakmuran serta memelihara warga Wilayah Persekutuan dan negara Malaysia dari segala musibah dan wabak penyakit yang melanda,” katanya.
– AlHijrah Online
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM