Guru buka pusat mengaji al-Quran percuma

SANDAKAN: Seorang guru agama sekolah menengah sanggup mengorbankan masa dan wang ringgitnya untuk mewujudkan Pusat Pengajian Al-Quran Al-Kisaei yang menawarkan pengajian percuma bagi memastikan lebih ramai masyarakat di daerah ini tahu membaca al-Quran.

Mahadir Amboala, 35, berkata idea mewujudkan pusat khas itu timbul selepas dia menyedari ramai pelajarnya ketika itu tidak bersolat kerana tidak tahu membaca ayat suci al-Quran.

“Sebelum ini, saya pernah bertanya pelajar sekolah sama ada mereka menunaikan solat Subuh atau tidak, tetapi hanya sebilangan kecil saja yang mengangkat tangan.

“Sebahagian besarnya pula mengakui tidak berbuat demikian kerana tidak tahu membaca al-Quran. Ketika itu, amat sukar menemui tempat belajar al-Quran secara percuma di Sandakan ini,” katanya di sini, semalam.

Mahadir berkata, dia dan beberapa rakannya kemudian memulakan aktiviti mengajar al-Quran di masjid serta dari rumah ke rumah.

“Lama-kelamaan, kami terfikir membina sebuah pusat pengajian al-Quran dan bersyukur kini terdapat dua premis diwujudkan untuk memberi perkhidmatan percuma ini iaitu di Taman Mawar dan di bandar Letat.

“Setakat ini, lebih 100 pelajar mengikuti pembelajaran al-Quran dan 15 orang tenaga pengajar yang turut mengajar secara suka rela di pusat pengajian ini,” katanya.

Mahadir berkata, sebagai pendidik, dia dan rakannya berharap dapat mencapai sasaran ‘sifar buta al-Quran’ di daerah berkenaan.

Sementara itu, pelajar di pusat pengajian itu bersyukur dapat belajar mengaji secara percuma termasuk seorang remaja perempuan yang baru memeluk Islam pada tahun lalu.

Charen Rolando, 18, berkata sebelum ini dia tercari-cari tempat untuk mempelajari al-Quran percuma dan amat sukar menemuinya di Sandakan.

“Alhamdulillah, kakak saya yang juga seorang mualaf mendapat makluman berhubung kewujudan pusat pengajian ini daripada seorang ustazah dan saya mendaftar sebagai pelajar.

“Saya terharu akhirnya ada tempat belajar sebegini yang percuma dan saya selesa serta mudah memahami kaedah pengajaran di sini,” katanya.

Pusat Pengajian Al-Quran Al-Kisaei turut mengadakan kerjasama dengan Pertubuhan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) khususnya dalam memberikan bantuan tenaga pengajar.

Presiden ISMA, Muhammad Fauzi Asmuni, berkata beliau tertarik dengan semangat ditunjukkan Mahadir dan rakannya.

“Saya melihat kesungguhan mereka yang tanpa modal tetapi dapat membangunkan pusat komuniti seumpama ini.

“Susulan itu, kami bekerjasama supaya pusat pengajian ini mampu berkembang lebih pesat dan ISMA bersedia memberi bantuan kepada pusat pengajian terbabit,” katanya. -Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts