Tahapan nas wahyu, dan adab terhadap guru

  1. Secara umumnya, nas wahyu itu tidak sukar difahami oleh kesemua tahapan manusia. Ini kerana sifat syariah itu mudah difahami, selari dengan fitrah manusia (bukan hawa nafsu manusia) dan umum untuk diamalkan semua.
  2. Namun di sana ada beberapa lapisan dan tahapan nas wahyu yang perlu diperhatikan agar kita tidak memukul rata bahawa semua orang boleh memahami semu nas wahyu lalu ‘merdeka daripada merujuk orang lain’.
  3. Ada tahap kefahaman nas wahyu yang mampu digarap oleh semua tahapan manusia. Biasanya ayat ini berkisar topik usul akidah, akhlak dan kisah-kisah terdahulu. Untuk isu ini, mudah kerana semua boleh faham.
  4. Ada pula tahap kefahaman nas yang dikhususkan perbahasannya pada kalangan yang berkelayakan. Seperti perbahasan hukum fiqh, isu ayat mutasyabihat (takwil dan tafwidh), makna kalimah Al-Quran yang samar dan seumpamanya. Untuk peringkat ini sahaja ada berapa lapis tahapan kelayakannya. Untuk ini, kita kena merujuk orang berkelayakan.
  5. Ada pula tahapan kefahaman yang hanya diketahui secara hakikatnya oleh Allah SWT. Seperti rahsia huruf ‘fawatih suwar’ (Alif Lam Mim, Yaa Siin, dan seumpamanya), kenapa Arasy di atas air, kenapa Iblis namanya Iblis, kenapa begitu begini, dan seumpamanya. Untuk ini, kita serahkan pengetahuannya kepada Allah SWT.
  6. Polemik ikut ulamak atau ikut Nabi SAW tidak wajar dibesarkan bahkan jika ditimbulkan pun boleh mengundang fitnah, berbanding hakikatnya kita perlu diajar meletakkan sesuatu perkara atau perbahasan itu pada tempatnya, dan tidak melangkaui saiznya yang sepatutnya.
  7. Ulamak yang mewariskan agama ini wajib dihormati. Pendapat, karya dan peninggalan mereka perlu dibaca dengan penuh sangka baik. Walaupun tidak dinafikan tiada yang maksum selain daripada Rasulullah SAW, paling kurang mereka ini lebih banyak yang betulnya daripada yang salahnya.
  8. Cubaan merungkai rasa hormat masyarakat awam pada mereka dan bermudah-mudah dalam memperlekeh pandangan mereka adalah suatu usaha merungkai ikatan ilmu yang diwarisi daripada Rasulullah SAW itu sendiri. Allah SWT mengangkat (menarik kembali) ilmu dengan mematikan para ulamak, dengan erti kata lain, batang tubuh ulamak itulah yang benar-benar diiktibar sebagai ilmu.
  9. “Kita lebih perlu kepada sedikit adab, berbanding ilmu yang banyak”, bak kata Abdullah ibn Al-Mubarak. Adab yang sedikit adalah hasil hikmah, tawadhuk, tidak rasa pandai, bersangka baik dengan orang lain. Sedangkan ilmu yang banyak tanpa adab, hanya melahirkan takabbur, besar diri, ujub, serta mudah memperlekeh kemampuan orang lain.

رحم الله امرءا عرف قدره ووقف عند حدوده

Moga Allah merahmati sesiapa yang mengetahui kadar dirinya, dan berhenti pada batasan kemampuannya.

Wallahua’lam bissawaab

Ust

Ustaz Syamil Esa
Pengarah Sekretariat
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts