Hati yang keras dari al-Quran

  1. Menurut al-Imam al-Khattabi, salah satu daripada mukjizat yang dimiliki oleh al-Quran adalah kekuatannya dalam menyentuh jiwa pembaca. Dengan membaca al-Quran sahaja, ia berupaya meluluhkan hati orang yang beriman. Kata al-Khattabi:

في إعجاز القرآن وجه آخر ذهب عنه الناس فلا يكاد يعرفه ، وذلك صنيعه بالقلوب وتأثيره في النفوس

“Mengenai mukjizat al-Quran, terdapat satu perkara yang tidak ramai manusia mengetahui tentangnya, iaitu keupayaannya yang membentuk jiwa dan memberikan kesan terhadap hati.”

  1. Ini selaras dengan firman Allah sendiri yang menyatakan bahawa Allah telah menurunkan sebaik-baik perbincaraan yang berupaya menggetarkan jiwa manusia. Firman Allah:

ٱللَّهُ نَزَّلَ أَحْسَنَ ٱلْحَدِيثِ كِتَٰبًا مُّتَشَٰبِهًا مَّثَانِىَ تَقْشَعِرُّ مِنْهُ جُلُودُ ٱلَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ ثُمَّ تَلِينُ جُلُودُهُمْ وَقُلُوبُهُمْ إِلَىٰ ذِكْرِ ٱللَّهِ

“Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah.” (Surah al-Zumar: 23)

  1. Namun, Allah ingatkan juga di dalam al-Quran bahawa terdapat jiwa-jiwa yang keras yang enggan dan sukar untuk mengingati Allah disebabkan kerana dosa dan keegoan mereka terhadap kebenaran. Golongan ini ditegur oleh Allah secara keras di dalam firmanNya:

فَوَيْلٌ لِّلْقَٰسِيَةِ قُلُوبُهُم مِّن ذِكْرِ ٱللَّهِ

“Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah.”

  1. Apa yang menjadikan hati mereka tidak terkesan dengan al-Quran? Salah satunya adalah mereka tidak bersungguh mencermati ayat-ayat Allah, mereka tidak serius, bahkan mereka bermain-main saat ayat-ayat Allah dibacakan kepada mereka. Firman Allah:

مَا يَأْتِيهِم مِّن ذِكْرٍۢ مِّن رَّبِّهِم مُّحْدَثٍ إِلَّا ٱسْتَمَعُوهُ وَهُمْ يَلْعَبُونَ

“Tidak datang kepada mereka itu sebarang peringatan yang diturunkan dari Tuhan mereka lepas satu: satu, melainkan mereka memasang telinga mendengarnya sambil mereka mempermain-mainkannya.” (Surah al-Anbiya: 2)

  1. Semoga Allah jadikan kita dalam kalangan mereka yang bersungguh dan bertafakkur apabila dibacakan kepada kita ayat-ayat al-Quran.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts