Pengetahuan menuntut kebertanggungjawaban

Kebiasaan manusia suka untuk mengetahui berbagai perkara yang pelik dan menarik. Lebih-lebih lagi melibatkan rahsia-rahsia tertentu yang menjadikan sesiapa yang mengetahui maklumat tertentu dikira istimewa kerana mengetahui satu perkara yang tidak diketahui oleh orang lain.

Saya kira itu adalah tabiat manusia yang sukakan kelebihan berbanding orang lain. Suka dianggap istimewa dan lain daripada yang lain. Atas sebab itu kita lebih cenderung untuk membaca berita sensasi berbanding berita-berita biasa.

Kita lebih memilih yang banyak berbanding sedikit, kita dikaburkan dengan penilaian zahir berbanding menilai dengan pandangan yang lain.

Mencari pengetahuan dan menuntut ilmu juga termasuk dalam kategori ini. Kita suka bila ilmu bertambah, perasaan kagum apabila kita mengetahui sesuatu yang baru berbanding semalam, serta rasa cukup berharga apabila kita mampu merungkai permasalahan tertentu yang kita tidak dapat selesaikan dalam satu tempoh yang lama.

Itu adalah pandangan zahir.

Satu sudut pandang yang lain pula yang perlu kita perhatikan adalah aspek kebertanggungjawaban yang terpikul atas maklumat atau ilmu yang kita tahu.

Semakin banyak kita tahu semakin banyak tanggungan kita. Ia sama seperti harta, semakin banyak harta semakin banyak kekangan dan tanggungjawabnya.

Seseorang yang mengetahui rahsia tertentu, ia bertanggungjawab untuk menjaga dirinya daripada perkara itu tersebar kerana kemungkinan berlakunya mafsadah yang besar seperti sekiranya dia menyimpan rahsia-rahsia negara yang penting.

Seseorang yang mengetahui rahsia atau keaiban individu tertentu pula bertanggungjawab untuk menjaga dirinya untuk tidak termasuk dalam kancah fitnah dan gosip yang boleh menjatuhkan maruah individu tertentu.

Seseorang yang miliki harta yang banyak punyai tanggungjawab untuk mengurus hartanya agar ia tidak disalahguna atau digunakan pada tempat yang haram, dibayar zakatnya serta ditunaikan haknya pada tempat yang sepatutnya.

Seseorang yang miliki ilmu yang lebih, tanggungjawabnya pula adalah menyampaikannya, beramal dengannya serta tidak kedekut untuk mengajarkannya kepada orang lain.

Atas sebab itu kita dapati, setiap perkara yang dikurniakan Tuhan ke atas kita ada tanggungan batin yang perlu kita pikul. Ia datang dengan pakej, bukan hadir dengan tangan kosong.

Tiada perkara percuma yang hadir dalam hidup kita tanpa hisab di atas muka bumi ini.

Saya sebenarnya cuba amati firman Allah SWT yang menyebut sesungguhnya orang yang takutkan Allah itu adalah golongan yang berilmu (bukan semata-mata ulamak dalam kefahaman awam). Serta hadis Nabi SAW yang menyebut bahawa sebaik-baik ilmu adalah yang ada padanya ‘al-khashyah’ (ketakutan dan ketaqwaan kepada Allah).

Ya, itulah maksud dan kefahamannya. Banyaknya ilmu tanpa memahami tanggungjawab yang terpikul hanya melahirkan manusia yang lebih jahat kerana mereka lebih bijak.

Ilmu dan pengetahuan yang terbina perlu dimajukan seiringan dengan pembinaan jiwa yang makmur dengan taqwa dan keimanan yang mendalam berbanding orang awam.

Tanggungjawab bukan dipikul semata-mata dengan kekuatan zahir, tapi hakikatnya ia bermula dengan kebertanggungjawaban di hadapan Tuhan, hisab di hari Akhirat serta dosa berganda jika bertentangan dengan apa yang diketahuinya.

Memahami hakikat ini, kita akan mampu sedar dan faham bahawa tarbiyah perlu makin ketat, pembinaan perlu lebih kuat dan akar rohani perlu lebih dalam.

Akhirnya, kita akan sedar bahawa jalan ke syurga adalah sangat sukar, melainkan manusia yang dimudahkan perjalanannya oleh Allah SWT.

“Sesungguhnya yang takut kepada Allah hanyalah orang-orang yang berilmu” – Surah Faathir

Wallahua’lam
——

Ustaz Syamil Esa
Pengarah Sekretariat
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts