KUIS mahu bantu OKU baca, dalami al-Quran

Kuala Lumpur: Mahu membantu golongan orang kurang upaya (OKU) terutama cacat penglihatan membaca dan mendalami pengajian al-Quran, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) membangunkan penyelidikan Model Pengajaran dan Pembelajaran Qur’an.

Bagi mencapai matlamat itu, KUIS mengambil inisiatif  menjalinkan hubungan kerjasama dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM ) melalui Geran Konsortium Kecemerlangan Penyelidikan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Penyelidikan itu memberi fokus kepada kajian Emansipasi Pengajaran dan Pembelajaran al-Quran Braille bagi OKU.

Rektor KUIS, Prof Madya Datuk Dr Mohd Farid Ravi Abdullah berkata pihaknya menyambut baik kerjasama yang terjalin antara ketiga-tiga IPT itu.

“Kami sangat mengalu-alukan kerjasama ini dan berhasrat untuk menjadikan KUIS sebagai salah sebuah IPT mesra OKU di masa hadapan.

“Sebagai umat Islam, kewajipan mempelajari al-Quran perlu dititikberatkan walaupun seseorang itu cacat kerana ia adalah panduan utama hidup yang menyinari manusia dalam kegelapan,” katanya.

Pemeteraian MoA ini ditandatangani oleh Rektor KUIS, Prof Madya Datuk Dr Mohd Farid Ravi Abdullah, Timbalan Naib Censelor Jaringan Industri Alumni dan Masyarakat UKM, Prof. Datuk Dr Norazah Mohd Nordin dan Timbalan Naib Cancelor Akademi dan Antarabangsa USIM, Prof Dr Mohd Radhi Ibrahim.

Kajian penyelidikan ini terbahagi kepada tiga kategori OKU iaitu OKU Pendengaran yang di ketuai oleh USIM, OKU Penglihatan dikelola oleh KUIS dan OKU cacat anggota diketui oleh UKM.

Projek penyelidikan yang bernilai RM487,000 itu dimulakan pada Januari tahun lalu dan dijangka siap pada Disember tahun ini.

Projek yang diketuai oleh Izzuddin Mohd Pisol bersama tiga lagi penyelidik lain iaitu Dr Hazlin Falina Rosli, Dr Zetty Nurzuliana Rashed dan Zur’ain Harun sedang dalam proses membangunkan modul al-Quran braille sedia ada untuk ditambahbaik agar selari dengan kehendak semasa.

Sementara itu, Hazlin yang juga Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Fakulti Pengurusan dan Muamalah KUIS berkata, golongan OKU penglihatan ini perlu dibantu.

“Buat masa ini mereka hanya berupaya menghafaz al-Quran melalui kaedah talaqqi. Pelbagai usaha dijalankan sebelum ini, namun penggunaannya masih terbatas.

“Selaras dengan misi dan visi, KUIS komited untuk memperkasakan hak samarata golongan ini dengan aspirasi kolej ke arah IPT inklusif OKU,” katanya. -My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts