KEPONG – Kempen Jom Baca Al-Quran anjuran Biro Dakwah Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) cawangan Gombak berjaya menarik perhatian ramai pengunjung Taman Rekreasi Metropolitan di sini pada hari Ahad.
Dengan berbekalkan set kerusi dan meja, beberapa naskhah Al-Quran, hampir 100 pengunjung meluangkan masa memperdengarkan bacaan Al-Quran masing-masing sambil diperbetulkan oleh beberapa orang aktivis Isma yang mahir dengan tilawah Al-Quran.
“Alhamdulillah kempen kita yang kali kedua dianjurkan ini mendapat sambutan baik di kalangan pengunjung yang rata-ratanya sukarela menyertai kempen ini secara santai sambil berehat di hujung minggu.
“Ini adalah salah satu usaha Isma melalui Biro Dakwah dengan kerjasama Biro Wanita dan Pemuda Isma bagi mendekatkan masyarakat dengan rujukan asas umat Islam iaitu Al-Quran,” kata Ketua Biro Dakwah Isma Gombak, Haji Abdul Samad Ashaari kepada Ismaweb.
Katanya, di samping menyemak dan memperbetulkan bacaan Al-Quran, peserta turut diberikan penjelasan mengenai kepentingan penghayatan Al-Quran dalam kehidupan selaku seorang muslim.
Sumber: http://www.ismaweb.net/2016/08/kempen-jom-baca-al-quran-tarik-perhatian-pengunjung-taman-rekreasi-metropolitan-kepong/
www.indahnyaislam.my
Program bersama masyarakat yg sgt baik. Tahniah!