IPOH – Insan yang memanfaatkan akal dengan menerokai makna yang tersirat dalam ayat-ayat al-Quran dan menghayatinya dalam kehidupan harian tidak akan terjebak dengan perilaku rasuah, pecah amanah dan sebagainya.
Mereka yang memanfaatkan akal juga akan mencerminkan kebijaksanaan sifat-sifat insani dan menjauhkan diri daripada godaan nafsu haiwani.
Itu antara intipati teks khutbah Jumaat bertajuk Menerokai dan Menghayati Mukjizat Al-Quran yang disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) kepada semua masjid dan surau diri Jumaat pada Jumaat.
Teks khutbah tersebut turut menjelaskan mengenai terdapat ratusan ayat al-Quran yang menyeru orang beriman memanfaatkan akal anugerah Ilahi agar menjadi insan yang bijaksana.
“Umat Islam di negara ini secara umumnya menyedari pentingnya al-Quran dalam hidup insan. Atas kesedaran tersebut anak-anak telah diperkenalkan dengan al-Quran sejak usia muda.
“Namun nilai al-Quran, kehebatan al-Quran, ilmu dan mukjizat yang terkandung dalam al-Quran tidak akan dapat diperoleh selengkapnya, jika ayat-ayat al-Quran sekadar dijadikan bahan bacaan dan bahan hafalan,” hurai khutbah tersebut.
Teks khutbah yang dibacakan turut menyentuh mengenai khazanah dan mutiara berharga yang terkandung dalam al-Quran, hanya dapat ditemui melalui usaha, menerokai, selanjutnya menghayati al-Quran.
Sehubungan itu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah menitahkan agar kaedah pengajaran al-Quran hendaklah memberikan keutamaan kepada usaha menerokai dan menghayati kandungan al-Quran.
Sebagai menjunjung titah Sultan Nazrin itu, program tadabbur al-Quran telah dilancarkan di negeri Perak pada 21 Mei 2019 bagi memupuk pembudayaan al-Quran dalam kehidupan insan.
“Tadabbur al-Quran bermaksud penghayatan terhadap ayat-ayat al-Quran untuk difahami maksud, hikmah dan pengajarannya dengan memberikan pemerhatian yang menyeluruh terhadap maksud sebuah ungkapan dan makna mendalam yang terkandung di sebaliknya.
“Tadabbur menjadikan manusia lebih insaf, manusia akan melontarkan pertanyaan demi pertanyaan, yang akan mendorong manusia berfikir tentang hikmah, tentang nilai pengajaran, serta merasai nikmat kemanisan berinteraksi dengan ayat-ayat ALLAH,” hurai khutbah.
Sementara itu, mimbar turut memperingatkan jemaah bahawa ilmu kemukjizatan al-Quran ialah ilmu yang sangat penting untuk diterokai dan dihayati.
Di samping itu, tadabbur membolehkan manusia memahami ayat-ayat al-Quran, mengaitkan al-Quran dengan diri untuk diamalkan dalam kehidupan harian dan untuk disampaikan fahaman tersebut serta dikembangkan amalan baik kepada orang lain.
Kaedah pengajaran al-Quran hendaklah beralih daripada sekadar membaca dan menghafal kepada mengutamakan fahaman, penghayatan dan amalan.
Jelasnya, umat Islam perlu menjadikan membaca al-Quran sebagai amalan setiap hari walaupun sepotong ayat dengan memahami maksudnya seterusnya dijadikan penyuluh hidup yang akan menjadi teman setia ketika berada di alam barzakh. – Sinar Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM