SOALAN
Assalammualaikum, Apabila saya bergaduh dengan isteri, saya ada terdetik ingin menceraikan isteri saya. Adakah jatuh talak dengan hanya berniat sahaja? Mohon pencerahan SS Mufti.
Ringkasan Jawapan:
Talak tidak jatuh dengan hanya berniat tanpa menyebutkan lafaz cerai secara jelas (sarih) mahupun kiasan (kinayah) yang merupakan salah satu rukun talak.
Huraian Jawapan:
Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.
Maksud talak ialah membubarkan akad nikah dengan lafaz “talak atau cerai” dan seumpamanya. Talak akan berlaku jika memenuhi rukun-rukun serta syarat-syaratnya. Setiap rukun terdapat syarat-syaratnya. Rukun talak ialah suami, isteri, sighah (lafaz), niat dan wilayah (kekuasaan)
Sekiranya seorang suami hanya berniat talak, maka ia tidak sempurna melainkan memerlukan kepada rukun lafaz talak sama ada lafaz yang jelas atau kiasan dan rukun talak lain yang memenuhi syarat-syaratnya.
Al-Khatib al-Syirbini dalam Mugni al-Mughtaj menyatakan talak tidak jatuh dengan niat tanpa melafazkannya. Begitu juga tidak mengerakkan lidahnya dengan lafaz “cerai”. Sementara itu, lafaz talak tidak berlaku sekiranya dengan suara yang perlahan sehingga tidak didengar oleh dirinya (suami) dengan pendengaran biasa yang tiada gangguan (bunyi bising atau tidak sihat). Hal ini kerana lafaz tersebut tidak dianggap sebagai lafaz dengan kata-kata.
Oleh itu, situasi suami “berniat” ingin mentalakkan isteri yang tidak dilafazkan sama ada secara jelas (sarih) mahupun kiasan (kinayah) adalah tidak tertalak. -Muftiwp
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM