Hukum trading forex untuk tujuan sedekah

Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya hukum jika saya berniat untuk bersedekah menggunakan sumber daripada Trading Forex Online. Sebagaimana kita maklum, hukum Trading Forex adalah haram dan saya telah meninggalkan kerja ini sekian lama setelah hukumnya telah diwartakan di Malaysia.

Namun, saya berfikiran bahawa adalah suatu kerugian jika kebolehan saya untuk memperoleh sumber kewangan daripada Forex Trading yang agak banyak tidak dimanfaatkan kepada fakir miskin di sekitar kawasan kediaman dan negeri saya. Jadi terlebih dahulu saya ingin mendapatkan kepastian daripada pihak Tuan berkenaan hukum untuk niat saya ini.

Ringkasan Jawapan

Hukum menjalankan trading forex untuk tujuan bersedekah adalah haram. Hal ini kerana kaedah Syarak yang mengharuskan melakukan perkara yang diharamkan hanyalah terpakai dalam situasi yang memang betul-betul mendesak sehingga tiada cara melainkan perlu melakukan perkara yang haram. 

Sedangkan dalam situasi di atas, bersedekah secara umumnya masih belum mencapai tahap darurat. Dalam masa yang sama masih ada wasilah halal yang lain untuk memperoleh wang seperti pelaburan saham, crowdfunding (sumbangan dana awam), dan lain-lain.

Huraian Jawapan

Pertamanya, Perdagangan Matawang (FOREX) mempunyai pelbagai gambaran dan bentuk. Tulisan ini memfokuskan pada bentuk Perdagangan Pertukaran Matawang Asing oleh Individu Secara Lani (Individual Spot Forex) melalui platfom elektronik yang sudah difatwakan haram dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-98.

Kenyataanya seperti berikut:

Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platfom elektronik yang ada pada masa ini adalah haram kerana ia bercanggah dengan kehendak syarak dan juga tidak sah dari sisi undang-undang negara”.

Seterusnya, bagi mencapai suatu tujuan yang baik hendaklah diperoleh melalui jalan yang dibenarkan Syarak semampu yang mungkin. Slogan “Niat menghalalkan cara” tidak boleh difahami secara mutlak untuk setiap keadaan. Sebaliknya slogan tersebut hanya terpakai jika memenuhi dua syarat utama:

Pertama: Hendaklah niat atau objektif yang ingin dicapai diiktiraf oleh Syarak. Contohnya,  niat menyelamatkan diri daripada kebinasaan dan kematian.

Kedua: Sekiranya bagi mencapai objektif yang diiktiraf Syarak tersebut mengkehendaki seseorang perlu menempuhi wasilah yang haram, hendaklah dia memastikan bahawa mudarat wasilah haram tersebut lebih rendah kesannya berbanding objektif yang ingin dicapaibukanlah setara apatah lagi lebih teruk. Contohnya, seseorang makan khinzir di saat dirinya hampir mati sedangkan makanan halal lain masih ada.

(Rujuk: Syarh al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, m/s 195)

Sehubungan dengan itu, sekiranya dua syarat di atas tidak dipenuhi seperti kesan mudarat wasilah haram lebih besar berbanding objektif yang ingin dicapai, maka wasilah tersebut haram digunakan bersandarkan kepada kaedah Fiqh menyebut:

الضرر لا يزال بمثله أو بأعظم منه

Maksudnya“Suatu kemudaratan tidak boleh dihilangkan dengan melakukan mudarat lain yang sama tahap atau lebih teruk daripadanya”.

Tambahan pula, agama mengajarkan suatu kaedah yang penting apabila berhadapan dengan situasi yang mempunyai elemen manfaat dan mudarat. Kaedah tersebut:

درء المفاسد مقدم على جلب المصالح

Maksudnya: “Menghindarkan kerosakan lebih diutamakan daripada mencari kemaslahatan”.

Oleh itu, sekiranya bertembung di antara memperoleh manfaat atau menghindarkan mudarat dan kerosakan, maka yang lebih utama adalah menghindarkan diri daripada segala jenis kemudaratan termasuklah maksiat dan dosa apatah lagi sekiranya manfaat yang ingin diperolehi tersebut tidak mencapai tahap penting dan darurat.

(Rujuk: al-Asybah wa al-Nazhair, m/s 78)

Banyak sekali nas yang menegaskan tentang tuntutan meninggalkan segala yang dilarang oleh syarak, antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَإِذَا نَهَيْتُكُمْ عن شيءٍ فَاجْتَنِبُوهُ، وإذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا منه ما اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya“Apabila aku melarangmu membuat sesuatu perkara maka jauhilah (kesemuanya). Apabila aku memerintahmu lakukan sesuatu perkara, maka lakukanlah semampu yang kalian boleh buat”.

Riwayat al-Bukhari (2788)

Bertitik tolak daripada kaedah ini, tujuan bersedekah merupakan suatu tindakan yang baik dan sangat mulia. Namun, sekiranya sumber kewangan sedekah tersebut diperoleh daripada cara yang haram seperti FOREX, maka dalam hal ini Syarak melarangnya.

Alasan larangan ini juga berpandukan hujah bahawa kaedah Syarak yang mengharuskan melakukan perkara yang diharamkan hanyalah terpakai dalam situasi yang memaksa dan mendesak sehingga tiada cara atau wasilah melainkan melakukan perkara yang haram.  Sedangkan dalam situasi di atas, bersedekah secara umumnya masih belum mencapai tahap darurat dan dalam masa yang sama masih ada cara halal yang lain untuk memperoleh wang seperti pelaburan saham, crowdfunding (sumbangan dana awam), wakaf, membuka tabung sedekah dan lain-lain.

Akhir kata, semoga kita semua diberikan taufik dan petunjuk oleh Allah SWT agar segala cita-cita murni yang ingin dicapai melalui jalan yang diredai-Nya. Wallahu a’lam. -Muftiwp

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts
Read More

Wanita akhir zaman

Kecantikan adalah lumrah bagi seseorang wanita. Disebabkan kecantikan seseorang lelaki tertarik kepada wanita untuk menjadikannya isteri. Dengan kecantikan…