Adab menyampaikan ilmu perlu dijaga – Mufti Kedah

Alor Setar: Setiap muallim atau tenaga pengajar perlu menjaga adab dalam menyampaikan ilmu termasuk menggunakan bahasa dan perkataan yang sesuai ketika majlis ilmu berlangsung.

Mufti Kedah Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata, penggunaan bahasa kesat perlu dielak supaya penyampaian ilmu menjadi lebih berkesan.

“Sebagai seorang pendidik memang tidak boleh menggunakan bahasa yang tidak elok kerana kita mempunyai adab dalam Islam, ia perlu dijaga dalam majlis ilmu.

“Kaedah penyampaian ilmu yang berkesan perlu dilihat melalui seluruh aspek, bermula dari segi cara penyampaian iaitu menggunakan bahasa yang sesuai serta penampilan tenaga pengajar itu sendiri,” katanya pada sidang media di Menara Zakat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai video tular di media sosial sejak semalam, memaparkan pensyarah sebuah universiti dikatakan memperlekeh pelajar B40 yang tidak mempunyai komputer riba ketika sesi kelas secara dalam talian.

Mengulas lanjut, Fadzil berkata, sebagai pelajar pula mereka turut mempunyai adab yang perlu dijaga ketika belajar bersama guru dan tindakan menularkan keaiban guru adalah adalah sikap yang tidak baik.

Katanya, sekiranya pelajar tidak berpuas hati dengan tenaga pengajar atau sebaliknya, maka perbincangan selepas majlis ilmu adalah perkara yang terbaik untuk dilakukan

“Dalam Islam, pelajar yang hendak bertanya soalan juga ada adabnya, tidak boleh sewenang-wenang terus tanya soalan kepada tenaga pengajar.

“Kita perlu mendapat keizinan terlebih dahulu, tanya pada masa yang sesuai serta soalan tidak bercanggah dengan apa dinyatakan tenaga pengajar.

“Itu adab yang perlu dijaga, apatah lagi hendak beritahu kepada orang ramai keaiban yang ada pada tenaga pengajar, sikap yang tidak elok dan berlebihan dilarang dalam adab menuntut ilmu, seeloknya berbincang,” katanya. – My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts