Terlintas di hati untuk melakukan maksiat, adakah dikira berdosa?

Soalan:

Assalamualaikum wrt.wbt. Mohon bertanya, adakah kita dikira berdosa jika terlintas di hati untuk melakukan maksiat, tapi kita belum pun melakukan perkara tersebut?

Ringkasan Jawapan

Lintasan hati atau terdetik dalam hati keinginan untuk melakukan maksiat tidak dikira sebagai dosa, selagi seseorang itu tidak melayan keinginan tersebut dan tidak berniat atau berazam untuk melakukannya. Hal ini kerana lintasan hati semata-mata belum dikira sebagai amal yang dihisab, bahkan ia merupakan suatu perkara yang amat sukar untuk dikawal, dan Islam tidak membebankan umatnya terhadap perkara yang tidak mampu mereka pikul. Tatkala terlintas di hati atau timbul keinginan untuk bermaksiat, kita hendaklah segera memadamkan keinginan tersebut dan beristighfar kepada Allah SWT.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Menurut Imam al-Subki, niat atau keinginan untuk melakukan maksiat yang ada dalam hati manusia secara umumnya terbahagi kepada lima kategori:

i. al-Hajis (الهاجس): Perkara yang dicampakkan ke dalam hati.

ii. al-Khatir (الخاطر): Perkara yang berlegar dan melintasi hati.

iii: Hadith al-Nafs (حديث النفس): Teragak-agak sama ada untuk melakukan perkara tersebut atau tidak.

iv. al-Hamm (الهم): Keinginan untuk melakukannya lebih dominan.

v. al-‘Azm (العزم): Tekad untuk melakukannya.

Menurut beliau, kategori pertama itu tidak dikira sebagai satu dosa menurut kesepakatan para ulama, manakala yang kedua dan ketiga juga dimaafkan.[1]

Hal ini bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ تَجَاوَزَ لأُمَّتِي عَمَّا حَدَّثَتْ بِهِ أَنْفُسُهَا مَا لَمْ تَعْمَلْ أَوْ تَكَلَّمْ بِهِ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla memaafkan untuk umatku terhadap apa yang terlintas di hati mereka, selagi mereka tidak melakukan atau mengucapkannya.

Sahih Muslim (127)

Hal ini juga selaras dengan prinsip Islam yang sama sekali tidak pernah membebankan umatnya dengan tanggungjawab yang tidak mampu dipikul dan berada di luar kawalannya.

Begitu juga al-hamm atau keinginan yang timbul untuk bermaksiat tidak dikira sebagai dosa selagi dia tidak melakukannya, seperti yang sabit dalam satu hadith qudsi:

إِذَا هَمَّ عَبْدِي بِسَيِّئَةٍ فَلَا تَكْتُبُوهَا عَلَيْهِ، فَإِنْ عَمِلَهَا فَاكْتُبُوهَا سَيِّئَةً

Maksudnya: Apabila hamba-Ku berkeinginan untuk melakukan kejahatan, maka janganlah kamu (malaikat) menulis dosa ke atasnya, tapi jika dia melakukannya, tulislah satu dosa ke atasnya.

Sahih Muslim (128)

Imam al-Nawawi ketika memberi komentar terhadap hadis ini menukilkan pandangan Qadhi Abu al-Tayyib:

فأمَّا الهمُّ الذي لا يُكْتَب فَهِيَ الخَواطرُ التي لا تُوطِنُ النفسُ عليها، ولا يَصْحَبُها عقدٌ ولا نيةٌ وعزمٌ.

Maksudnya: Adapun keinginan yang tidak ditulis padanya dosa atau pahala ialah lintasan hati yang jiwa tidak kekal padanya, dan dia tidak menyertakan niat atau keazaman untuk melakukannya.[2]

Imam Abu Hamid al-Ghazali pula berkata:

فأما الخواطِرُ وحَديثُ النَّفْسِ فَهُوَ مَعْفُوٌّ عَنْهُ

Maksudnya: Adapun lintasan hati dan perkara yang , kedua-duanya dimaafkan dan tidak dikira sebagai dosa.[3]

Adapun niat dan keazaman yang bersungguh-sungguh untuk bermaksiat, maka ia dikira sebagai dosa yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat, sekalipun dia tidak melaksanakan apa yang diniatkan itu. Al-Ahnaf bin Qais meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا الْتَقَى الْمُسْلِمَانِ بِسَيْفَيْهِمَا فَالْقَاتِلُ وَالْمَقْتُولُ فِي النَّارِ‏‏.‏ فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ هَذَا الْقَاتِلُ فَمَا بَالُ الْمَقْتُولِ؟ قَالَ: إِنَّهُ كَانَ حَرِيصًا عَلَى قَتْلِ صَاحِبِهِ.

Maksudnya: Apabila dua kumpulan orang Islam berlawan pedang, yang membunuh dan yang terbunuh akan dimasukkan ke neraka. Lalu aku bertanya: Wahai Rasulullah, yang membunuh itu memang patut masuk neraka, tapi mengapa yang terbunuh juga demikian? Baginda menjawab: Kerana dia juga berniat untuk membunuh saudara Muslimnya.

Sahih al-Bukhari (31)

Kesimpulannya, lintasan hati atau terdetik dalam hati keinginan untuk melakukan maksiat tidak dikira sebagai dosa, selagi seseorang itu tidak melayan keinginan tersebut dan tidak berniat atau berazam untuk melakukannya. Hal ini kerana lintasan hati semata-mata belum dikira sebagai amal yang dihisab bahkan merupakan suatu perkara yang amat sukar untuk dikawal, dan Islam tidak membebankan umatnya terhadap perkara yang tidak mampu kepada Allah SWT.

Wallahu a’lam. – Muftiwp

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts