Merenungi kebesaran Allah adalah ibadah

  1. Dalam al-Quran, Allah sering mengajak manusia bertafakur, memerhatikan kebesaran Allah melalui para makhluk ciptaannya. Firman Allah:

إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآيَاتٍ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.” (Surah Ali Imran: 190)

  1. Ayat ini adalah di antara ayat yang dibacakan oleh Rasulullah ketika Baginda bangun dari tidur untuk mendirikan qiamullail. Seolah-olah, Baginda sentiasa mengingatkan dirinya tentang kebesaran Allah apabila bangun dari tidurnya. Perkara ini diceritakan oleh Ibn Abbas:

بت عند خالتي ميمونة، فتحدث رسول الله صلّى الله عليه وسلّم مع أهله ساعة ثم رقد: فلما كان ثلث الليل الآخر قعد فنظر إلى السماء فقال: إِنَّ فِي خَلْقِ السَّماواتِ وَالْأَرْضِ

“Aku tidur di rumah makcikku Saidatina Maimunah (isteri Rasulullah) dan aku perhatikan Rasulullah berbual dengan ahli keluarganya seketika. Kemudian Baginda tidur. Apabila tiba sepertiga malam, Rasulullah bangun (untuk mendirikan qiamullail) dan Baginda melihat ke langit dan membaca ayat: Inna fi khalqis sama… (ayat 190 Surah Ali Imran di atas).” (Tafsir al-Wasit, al-Tantawi)

  1. Perhatikan bagaimana Rasulullah sering merenung kebesaran Allah dan mengingatkan peringatan yang disebutkan di dalam al-Quran apabila bangun dari tidur Baginda.
  2. Atas dasar itu sebahagian sahabat melihat, bertafakur memikirkan kebesaran Allah ini adalah ibadah yang paling hebat. Perkara ini diungkapkan oleh Ummu Darda apabila ditanya kepadanya. Al-Asbahani meriwayatkan:

سُئلت أمُّ الدَّرْداء: “أيُّ عبادةِ أبي الدَّرْداء كانت أكثر؟ قالت: التفكُّر والاعتبار

“Ummu Darda pernah ditanya: Apakah ibadah yang paling banyak dilakukan oleh Abu Darda? Ummu Darda menjawab: Beliau bertafakur dan mengambil iktibar.” (Abu Nu’aim al-Asbahani, Hilya al-Auliya)

  1. Malah, sebahagian sahabat merasakan, berfikir kepada kebesaran Allah ini lebih baik dari ibadah secara fizikal. Kata Ibn Abbas:

تفكر ساعة خير من قيام ليلة

“Bertafakur pada satu masa itu lebih baik dari mendirikan qiamullail.” (Al-Asbahani, al-Azmah, sebahagian sarjana menyandarkan kata-kata ini kepada Hasan al-Basri)

  1. Dalam Surah al-Mulk, Allah mengajak kita berfikir mengenai burung yang berterbangan terapung dilangit tanpa ada yang memegangnya melainkan Allah. Hari ini kita menyaksikan bagaimana rancangan dokumentari mendedahkan kebolehan burung untuk bermigrasi hingga puluhan ribuan kilometer dengan sistem navigasi dan pertahanannya yang canggih. Siapakah yang mencipta design secanggih ini?
  2. Benarlah firman Allah: “Mengapa kamu berkeadaan tidak menghargai kebesaran Allah (dan kekuasaanNya)” (Surah Nuh: 13)

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts