Bolehkah membaca Al-Quran di dalam telefon bimbit tanpa berwuduk?

Soalan

Assalamualaikum. Saya seorang pegawai perubatan yang menjaga kaunter dibahagian hadapan. Bagi mengelak terkena jangkitan covid-19, kami disuruh untuk yang memakai pakaian PPE. Persoalan saya sewaktu menunggu di kaunter itu saya membaca al-Quran menggunakan hendset saya dan bolehkah saya memmegang henset itu sekiranya tidak mempunyai wuduk. Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Membaca al-Quran merupakan amalan yang sangat dituntut di dalam Islam. Begitu juga, akan diberi pelbagai ganjaran dan kelebihan bagi sesiapa yang membaca al-Quran sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Muhammad bi Ka’ab al-Qurazi menyebut, aku mendengar daripada Abdullah bin Mas’ud RA berkata, Sabda Nabi SAW:

مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ

Maksudnya: Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitabullah (al-Quran) maka baginya satu kebaikan.

Riwayat al-Tirmizi (2910)

Selain itu, di antara kelebihan membaca al-Quran ianya boleh memberi syafaat ketika pada hari kiamat kelak. Ini seperti hadis yang diriwayatkan ole Abu Umamah RA bahawa ia mendengar Nabi SAW bersabda:

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ

Maksudnya: Bacalah al-Quran, kerana sesunggunhnya ia akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada sesiapa yang membacanya

Riwayat Muslim (804)

Membaca al-Quran Tanpa wuduk

Bebalik kepada persoalan yang diajukan di atas, dalam hal membaca al-Quran terdapat adab-adab yang disarankan oleh para fuqaha’ di antaranya adalah membersihkan mulut dengan bersiwak atau selainnya. Begitu juga disunatkan bagi seseorang yang hendak membaca al-Quran itu menyucikan dirinya (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Quawaitiyyah, 33/34-35)

Imam Nawawi menyebut, disunatkan membaca al-Quran ketika ia dalam keadaan suci dan sesiapa yang membaca al-Quran dalam keadaan ianya berhadas maka diharuskan, dan ini merupakan ijma’ para ulama. Imam Nawawi menukilkan pandangan Imam Haramain menyebut bahawa membaca al-Quran ketika berhadas bukan perkara yang makruh akan tetapi ia meninggalkan perkara yang afdhal. Imam Nawawi menyebut lagi, dan bagi orang yang berjunub (berhadas besar) dan haid maka haram bagi mereka membaca al-Quran. (Lihat al-Tibyan fi Adab Hamilah al-Quran, 1/73; al-Itqan fi Ulum al-Quran, 1/363)

Hal ini sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ali RA menyebut:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُقْرِئُنَا الْقُرْآنَ عَلَى كُلِّ حَالٍ مَا لَمْ يَكُنْ جُنُبًا

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW membacakan kepada kami al-Quran dalam setiap keadaan, melainkan dalam keadaan berjunub

Riwayat al-Tirmizi (146)

Hukum Menyentuh al-Quran Ketika Berhadas

Dalam membincangkan perihal menyentuh al-Quran tanpa bersuci, sebahagian para ulama bersepakat bahawa menyentuh al-Quran atau mushaf adalah haram melainkan dalam keadaan seseorang itu suci daripada hadas kecil atau besar. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Quwaitiyyah, 37/276)

Ini bertepatan dengan Firman Allah SWT:

لَّا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ

Maksudnya: Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci;

(Surah al-Waqiah, 79)

Imam Qurtubi menyebut di dalam kitabnya bahawa para ulama berbeza pendapat dalam hal menyentuh mushaf dalam keadaan tidak berwuduk, jumhur ulama melarang daripada menyentuhnya berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Amru bin Hazm RA. Dan ini merupakan pandangan mazhab Saidina Ali RA, Ibnu Masud, Saad bin Abi Waqaz, Said bin Zaid, Ata’, al-Nakhai serta mazhab fuqaha’ daripada Malik dan Syafi’e. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 17/226)

Selain itu, Imam al-Nawawi menyatakan, diharamkan seseorang yang berhadas menyentuh mushaf dan membawanya sama ada membawanya secara tidak langsung atau secara langsung. Imam al-Nawawi menyebutnya lagi, sekiranya ditulis al-Quran pada kayu maka hukumnya adalah seperti hukum mushaf sama ada tulisan itu sedikit atau banyak, sehingga sekiranya sebahagian ayat ditulis untuk belajar maka haram menyentuh kayu atau lembaran yang ditulis tersebut. (Lihat al-Tibyan fi Adab Hamilah al-Quran, 1/192)

Apakan yang dimaksudkan dengan mushaf

Bagi menentukan apakah menyentuh al-Quran yang terdapat di dalam aplikasi telefon bimbit diwajibkan untuk berwuduk atau tidak, maka sebaiknya diperhalusi adakah ia juga dikategorikan sebagai Mushaf atau tidak.

Oleh itu, dalam memahami maksud mushaf Syeikh Muhammad bin Umar Nawawi al-Jawi al-Bantani menyebut:

وَالْمرَاد بالمصحف كل مَا كتب فِيهِ شَيْء من الْقُرْآن بِقصد الدراسة كلوح أَو عَمُود أَو جِدَار

Maksudnya: Dan dimaksudkan dengan Mushaf adalah setiap benda yang ditulis padanya sesuatu daripada al-Quran dengan tujuan pembelajaran seperti kayu atau tiang atau dinding

(Lihat Nihayah al-Zain, hlm. 32)

Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah menyebut al-Mushaf adalah nama yang ditulis padanya kalam Allah SWT di antara dua kulit. Dan mushaf adalah apa yang terkandung di dalamnya keseluruhan ayat al-Quran atau apa yang disebut sebagai mushaf secara uruf atau ditulis padanya sedikit ayat al-Quran seperti hizib. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 38/5)

Ini jelas, sifat mushaf itu adalah sesuatu yang ditulis di atasnya ayat al-Quran. Justeru, bagi memahami apa yang dimaksudkan dengan tulisan, Syeikh Sulaiman bin Muhammad al-Bujairimi menyebut di dalam Hasyiahnya, bahawa tulisan (كِتَابَةً) bemaksud yang tertulis di atasnya, iaitu apa yang terdapat padanya tulisan, seperti lembaran dan kain sama ada ditulis padanya dengan menggunakan dakwat atau selainnya, dan begitu juga ukiran berbentuk huruf pada batu, kayu atau pada tanah dipermukaan bumi. Jika sekiranya melukis bentuk huruf di udara atau air maka ia bukanlah sebagai tulisan mengikut pandangan mazhab seperti yang disebut al-Ziadi. (Lihat Hasyiah al-Bujairimi al-Khatib, 3/498)

Justeru, dapat difahamai bahawa al-Quran yang dibuka di dalam telefon pintar tidak termasuk di dalam kategori mushaf seperti mana yang ditakrifkan oleh ulama.

Begitu juga sepertimana yang disebut oleh Syeikh Ali Jumaah mantan mufti Mesir yang lalu, menyatakan bahawa menyentuh telefon bimbit bertujuan untuk membaca al-Quran tanpa berwuduk adalah diharuskan kerana ia bukan mushaf seperti yang disebut oleh para ulama, dan tidak diharuskan menyentuh mushaf yang hakiki melainkan dalam keadaan suci.

Selain itu, di dalam Buku Garis Panduan Pembuatan, Pengendalian, Penjualan Dan Pelupusan Bahan-bahan Penerbitan Dan Perhiasan Yang Mengandungi Ayat-ayat Suci Al-Quran menyebut: Bagi menyentuh dan membawa mashaf al-Quran yang lengkap, pengendali hendaklah mempunyai air sembahyang serta tidak berhadas besar kecuali Al-Quran dalam format cakera optik seperti CD, Brail dan paparan skrin telefon bimbit.

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan di atas dan penelitian perbahasan yang diberikan, dapat kami simpulkan bahawa harus membaca al-Quran melalui telefon bimbit tanpa berwuduk, ini kerana aplikasi al-Quran tidak boleh dihukum sebagai mushaf al-Quran kerana ianya hanya tulisan yang dipapar melalui skrin dan kemudiannya hilang, bahkan tidak kekal, berbeza seperti yang ditakrifkan oleh para ulama dengan mushaf al-Quran yang hakiki.

Namun, sebaiknya disunatkan untuk berwuduk ketika membaca al-Quran serta menjaga adab-adab ketika membaca al-Quran sepertimana yang digariskan oleh para ulama seperti menutup aurat, mengadap kiblat dan membersihkan mulut.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih terhadap agamaNya serta taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syari’atNya dengan sebaiknya. – Muftiwp

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts