Tadabbur surah Al-Jumu’ah pada hari Jumaat

  1. Dalam Surah al-Jumu’ah, Allah menegur sikap sebahagian sahabat Nabi yang meninggalkan Rasulullah tatkala Baginda sedang menyampaikan khutbah. Peristiwa ini dinukilkan oleh para sarjana tafsir yang menjelaskan insiden tersebut iaitu ketika Baginda sedang berdiri menyampaikan khutbah, datanglah kafilah dagangan milik Abdul Rahman bin Auf atau Dihyah al-Kalbi ke Madinah.
  2. Melihatkan kafilah yang membawa barang-barang dagangan ini tiba, sebahagian besar sahabat bangun meninggalkan Rasulullah berdiri keseorangan menyampaikan khutbah. Menurut Sheikh al-Tantawi hanya tinggal 12 orang sahabat sahaja yang kekal mendengar khutbah Nabi. Perkara ini direkodkan di dalam al-Quran yang menyebutkan:

وَإِذَا رَأَوْا تِجَارَةً أَوْ لَهْوًا انفَضُّوا إِلَيْهَا وَتَرَكُوكَ قَائِمًا ۚ

“Dan apabila mereka mengetahui kedatangan barang-barang dagangan (yang baharu tiba) atau (mendengar) sesuatu hiburan, mereka bersurai (lalu pergi) kepadanya dengan meninggalkan engkau berdiri (di atas mimbar – berkhutbah).” (Surah al-Jumu’ah)

  1. Perhatikan di sini bagaimana dunia itu benar-benar memukau manusia sehingga seorang Rasul yang sedang berada di hadapan mata mereka boleh ditinggalkan begitu sahaja oleh manusia. Insiden ini melakarkan satu pengajaran penting mengenai kilauan dunia yang boleh menenggelamkan urusan agama.
  2. Ayat ini juga mengingatkan kepada kita tentang dua elemen yang boleh menyebabkan manusia tergelincir dari landasan yang benar iaitu kesibukan terhadap urusan keduniaan dan tenggelam dalam hiburan. Ini kerana, dalam ayat di atas, Allah menegaskan bahawa manusia yang bangun pada hari tersebut adalah kerana mengejar perniagaan dan hiburan yang datang bertamu.
  3. Dan bagi menangani isu ini, Allah telah menjelaskan dalam Surah al-Saff mengenai perniagaan yang lebih menguntungkan. Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَى تِجَارَةٍ تُنجِيكُمْ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ * تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu.” (Surah al-Saf: 10-11)

  1. Dan alangkah menariknya andai sekiranya Surah al-Jumu’ah yang sering dibacakan oleh Rasulullah pada hari jumaat (atau pada malam jumaat) ini, diperhatikan pengajarannya pada setiap minggu untuk mengingatkan diri kita yang sibuk mengejar urusan dunia setiap hari agar berhenti seketika untuk merenung dan bermuhasabah sejenak mengenai apa yang dilalui sepanjang seminggu yang telah berlalu.

(Nota: Menurut riwayat Muslim, Rasulullah dikatakan sering membacakan Surah al-Jumu’ah dalam Solat Jumaat. Manakala riwayat al-Baihaqi, Baginda membaca Surah al-Jumu’ah pada solat isyak malam jumaat).

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts