KOTA KINABALU: Maal Hijrah adalah perayaan penting untuk mengingatkan umat Islam mengenai kepentingan memelihara perpaduan, meningkatkan ekonomi dan membangunkan modal insan bagi meneruskan pembangunan di negeri ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Noor, berkata oleh itu umat Islam di Sabah diseru mengambil iktibar peristiwa hijrah Rasulullah SAW untuk sentiasa berusaha meningkatkan potensi serta kualiti segenap aspek bagi mencapai kecemerlangan di dunia dan akhirat.
Katanya, semangat hijrah dalam sejarah peristiwa hijrah Rasulullah SAW harus diterapkan dalam melaksanakan pembaharuan walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran.
Beliau berkata, semangat untuk berusaha ke arah pembaharuan dan pembangunan juga kekal relevan, ketika negara berdepan pelbagai cabaran akibat pandemik COVID-19.
“Justeru, saya berharap generasi muda masa depan kita akan terus melakukan yang terbaik dalam memikul amanah sebagai warga yang menjunjung tuntutan agama, bangsa dan negara.
“Keprihatinan terhadap perkara ini amat penting, kerana harapan dan prospek negara terletak kepada generasi muda yang akan memimpin negara dan negeri ini pada masa akan datang.
“Hayati dan fahamilah makna di sebalik hijrah agar dapat menjadi ummah kreatif dan berinovasi mendepani cabaran semasa serta perkembangan yang terus berlaku,” ketika berucap pada Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Negeri Sabah bertempat di Dewan Sa’adah Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), semalam.
Yang turut hadir, Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
Hajiji berkata, berkata bersempena dengan tema Maal Hijrah tahun ini, ‘Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran’, jelas memperlihatkan kepentingan umat Islam di Sabah harus bersatu padu dalam mencapai matlamat bersama.
“Pentingnya umat Islam kita yang berbilang bangsa, bahasa dan budaya bersatu dalam apa saja keadaan, untuk mencapai matlamat bersama membentuk sebuah negara yang dapat memperkasakan nilai kebersamaan di samping menghormati segala perbezaan yang ada,” katanya. – Berita Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM