Soalan
Assalamualaikum. Apakah hukum meniaga di tanah orang lain tanpa kebenaran dan apakah status pendapatan yang diperoleh dari perniagaan tersebut?
Jawapan Ringkas
Hukum berniaga di atas tanah orang lain tanpa mendapat kebenaran adalah haram kerana perbuatan itu adalah perbuatan menceroboh tanah orang lain yang diharamkan. Namun begitu, jual beli yang berlaku adalah sah dan hasilnya boleh digunakan sekiranya barangan yang dijual adalah barangan yang halal. Ini adalah kerana pengharaman tersebut adalah pada perbuatan menceroboh. Peniaga walaubagaimanapun dinasihatkan untuk meminta kebenaran daripada tuan tanah terlebih dahulu sebelum berniaga di suatu tempat kerana ini adalah tanggungjawab setiap muslim apabila memanfaat sesuatu yang bukan miliknya.
Huraian Jawapan
Perniagaan adalah aktiviti yang diharuskan dalam Islam selagi ia tidak melibatkan perkara yang haram.
الأصل فِي المعاملات الإباحة
Maksudnya: Asal hukum bagi perkara berkaitan muamalat adalah diharuskan.
(Rujuk Zakhirah al-‘Uqba fi Syarh al-Mujtaba 346/34)
Manakala sesuatu jual beli itu adalah sah di sisi syarak sekiranya jual beli tersebut memenuhi rukun-rukun jual beli berikut:
1. Pembeli
2. Penjual
3. Sighah Akad (Ijab dan Kabul)
4. Barang yang dijual beli
(Rujuk al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh 3309/5)
Walaubagaimanapun aktiviti perniagaan di atas tanah orang lain tanpa kebenaran adalah termasuk dalam kategori menceroboh tanah orang lain dan ini hukumnya haram. Ini termasuklah perbuatan mendirikan premis, gerai dan seumpamanya bagi tujuan berniaga di atas tanah milik orang lain..
مَنْ ظَلَمَ قِيْدَ شِبْرٍ مِنَ الأَرْضِ طُوِّقَهُ مِنْ سَبْعِ أَرَضِيْنَ
Maksudnya: Sesiapa yang berlaku zalim dengan mengambil tanah orang lain walaupun sejengkal, maka akan dilipat dan dihempap dengan tanah dari tujuh lapis bumi.
Riwayat al-Bukhari (2321)
Selain itu, terdapat juga riwayat lain yang memberikan maksud yang sama dengan hadis di atas. Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ أَخَذَ اَرْضًا بِغَيْرِ حَقِّهَا كُلِّفَ أَنْ يَحْمِلَ تُرَابَهَا إِلَى الْمَحْشَرِ
Maksudnya: Sesiapa yang mengambil tanah tanpa ada haknya, maka dia akan dibebankan dengan memikul tanah (yang diambil tanpa hak) ke padang Mahsyar.
Riwayat Ahmad (17569)
Para ulama menerangkan bahawa hadis-hadis di atas jelas menunjukkan pengharaman dan larangan menzalimi orang lain dengan cara menggunakan tanah orang lain walaupun sedikit tanpa keizinannya. Ini adalah termasuk menceroboh dan merampas tanah tersebut. Manakala maksud dilipat dan dihempap dengan tanah dari tujuh lapis bumi adalah Allah membebaninya dengan apa yang dia telah ambil dengan cara yang salah (tanah) ketika hidup. (Rujuk Tatriz Riyad al-Salihin hlm.165; al-Ilmam bi Syarh Umdah al-Ahkam 45/2)
Selain itu, tindakan menceroboh tanah orang lain akan memberikan kesulitan serta mendatangkan masalah kepada pemilik tanah. Justeru, hal ini bercanggah dengan larangan Rasulullah SAW untuk tidak memudaratkan orang lain. Rasulullah SAW bersabda:
لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ
Maksudnya: Tidak ada mudarat dan tidak boleh memudaratkan.
Riwayat Ahmad (2865)
Oleh itu, dapatlah difahami bahawa transaksi jual beli yang berlaku adalah sah dan hasil keuntungan daripadanya boleh digunakan selagi transaksi tersebut tidak melibatkan perkara yang haram. Namun begitu, perbuatan berniaga di atas tanah orang itu adalah salah kerana sama seperti menceroboh tanah orang lain yang diharamkan syarak. Pelaku juga boleh dikenakan tindakan undang-undang atas kesalahan menceroboh.
Kesimpulan
Hukum berniaga di atas tanah orang lain tanpa mendapat kebenaran adalah haram kerana perbuatan itu adalah perbuatan menceroboh tanah orang lain yang diharamkan. Namun begitu, jual beli yang berlaku adalah sah dan hasilnya boleh digunakan sekiranya barangan yang dijual adalah barangan yang halal. Ini adalah kerana pengharaman tersebut adalah pada perbuatan menceroboh. Peniaga walaubagaimanapun dinasihatkan untuk meminta kebenaran daripada tuan tanah terlebih dahulu sebelum berniaga di suatu tempat kerana ini adalah tanggungjawab setiap muslim apabila memanfaat sesuatu yang bukan miliknya.
Wallahualam.- Muftiwp
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM