Sumpah hanya laku di hadapan hakim, bukan di tempat awam

Sumpah laknat (mubahalah) menjadi topik perbincangan dalam kalangan umat Islam muktahir ini. Graf perbualan itu semakin rancak apabila ia membabitkan institusi masjid ketika ungkapan itu dilafazkan.

Bukan mahu memanjangkan perkara yang sudah berlalu, namun sudah tiba masanya masyarakat celik tentang perbuatan sumpah itu sendiri.

Bagi mendasari topik itu, Sinar Islam Plus menemubual Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang.

Beliau membuka kalamnya dengan penggunaan sumpah (al-Yamin) sebagai salah satu cara pembuktian yang diterima pakai dalam sistem keadilan Islam. Itulah keunikan sistem perundangan syariah, berbeza dengan sivil dan Barat.

Namun begitu, jelas beliau, penggunaan sumpah hanya terpakai dalam kes-kes tertentu sahaja.

“Jumhur fuqaha menerima kaedah sumpah sebagai salah satu cara pembuktian atau keterangan di mahkamah dalam kes tuntutan mal.

“Bagaimanapun, dalam kes jenayah syariah, tidak semua fuqaha menerimanya. Sesetengah fuqaha hanya bersetuju dalam kes tertentu saja,” terangnya ketika diwawancara secara maya baru-baru ini.

Secara umumnya, pengamal undang-undang syariah itu menjelaskan, amalan sumpah yang diterima dalam kes jenayah adalah sumpah al-Qasamah. Ia bermaksud bersumpah dengan nama ALLAH SWT yang akan dilakukan oleh pihak keluarga orang yang maut dalam kes pembunuhan bagi membuktikan hak mereka terhadap tertuduh.

“Contohnya, dalam satu kes pembunuhan, tidak ada orang yang melihat (insiden itu), sedangkan keluarga yang dibunuh berkata si A yang membunuh. Maka keluarga ini boleh sumpah al-Qasamah mengatakan si A ini yang bunuh.

“Satu lagi sumpah yang diterima adalah sumpah mubahalah. Ia lebih kepada isu yang berkaitan dengan akidah atau sumpah dalam pendebatan untuk menyokong hujah yang benar, bukan kesalahan jenayah berkaitan kes hudud atau rasuah,” jelas beliau.

Hak bagi pihak yang mendakwa

Menyambung hujah, Musa menjelaskan tentang prinsip umum dalam pendakwaan Islam. Pihak mendakwa perlu membuktikan dakwaannya, manakala orang yang kena dakwa boleh diminta bersumpah bagi menafikan tuduhan berkenaan andai pihak yang membuat aduan tersebut gagal membuktikannya.

“Mudah kata, sumpah orang yang kena dakwa itu adalah hak bagi pihak mendakwa, yang mana ia boleh diminta mereka apabila dia tidak mampu membuktikan dakwaan itu melalui keterangan atau bukti.

“Tujuan sumpah adalah sama ada untuk menguatkan keterangan dalam keadaan tidak cukup bukti dan saksi; atau bertujuan untuk menafikan tuntutan seseorang; atau untuk tujuan mengembalikan beban pembuktian itu kepada pihak yang menuntut.

“Cuma dalam Islam, bukan semua orang boleh menuntut atau mendakwa sesuatu yang bukan haknya. Tuntutan atau dakwaan perlu didatangkan dengan bukti dan saksi,” ungkapnya.

Andai seseorang didakwa di mahkamah, tetapi melakukan sumpah di luar institusi kehakiman dengan menjunjung al-Quran misalnya dan menamakan ia sebagai sumpah mubahalah, peguam syarie itu menjelaskan, perbuatan tersebut tidak tepat dan tidak betul dari segi konsep atau namanya.

Ini kerana, katanya, maksud sumpah mubahalah sebagaimana disebutkan dalam ayat 61, Surah Ali Imran, ia tidak merujuk kepada sistem perundangan Islam. Sebaliknya kategori sumpah dalam perdebatan untuk menyokong hujah yang benar.

“Mubahalah tidak menjadi satu tuntutan sekiranya kes sedang dibicarakan di mahkamah. Bahkan, proses keadilan di mahkamah tidak eksekutif pada sumpah sahaja, tetapi juga pada pembuktian yang lain seperti pengakuan, penyaksian, pembuktian di hadapan hakim, rayuan dan sebagainya.

“Dalam prinsip perundangan Islam, sumpah hanya diambil kira atau dilakukan apabila diminta oleh kadi atau hakim. Ia dilaksanakan selepas pendakwaan dilakukan, bahan bukti dikemukakan dan keterangan saksi didengari. Sumpah itu disebut sebagai al-yamin al-qadha’iyyah.

“Kesimpulannya, sumpah perlu dibuat di hadapan hakim (mahkamah), bukan di tempat awam atau secara berbalas sumpah,” tegas beliau.

9 jenis sumpah di mahkamah

Musa menambah, terdapat sembilan jenis sumpah yang diterima di mahkamah syariah. Perinciannya adalah seperti berikut:

i. Al-Yamin al-Istizhar – Sumpah dibuat oleh al-muda’ii (plaintif) atas perintah hakim setelah memberikan keterangan mencukupi dalam kes muda’i alaih (defendan) yang ghaib atau mati. Turut terpakai juga defendan tersebut merupakan kanak-kanak belum baligh, al-safih (bodoh), al-mahjur (dihalang mentadbir hartanya), gila atau orang yang tidak sempurna akal. Fakta itu dinyatakan dalam Kitab Mughni Muhtaj, al-Muhazzab, Nihatul Muhtaj dan al-Fiqh al-Islami wa Adilatuh.

ii. An-Nukul – Enggan bersumpah setelah diarahkan oleh hakim.

iii. Al-Yamin Mardudah – Sumpah yang dijalankan oleh plaintif setelah ditolak oleh defendan.

iv. Al-Yamin al-Mutammimah – Sumpah dilakukan oleh mana-mana pihak setelah diarahkan oleh hakim untuk menguatkan perintahnya.

v. Al-Yamin al-Hasimah – Sumpah yang dilaksanakan oleh salah satu pihak atas permohonan pihak lain.IKLAN

vii. Yamin al-Takmilah – Sumpah yang dilakukan oleh plaintif di samping keterangan oleh seorang saksi.

viii. Yamin Nafyi al-’Ilmi’ – Sumpah seseorang menafikan bahawa dia mengetahui sesuatu perbuatan mengenai orang lain.

viii. Yakin al-Nafyi – Sumpah penafian yang dijalankan oleh defendan.

ix. Sumpah li’an – Suami bersumpah menuduh isteri melakukan zina atau mengandungkan anak zina.

Sementara itu, peguam syarie, Nurain Akmal Khairunnisa Amir Hamzah menjelaskan, kesemua sumpah berkenaan bertujuan untuk membantu hakim dalam mengeluarkan keputusan bagi setiap kes di mahkamah syariah.

“Bagaimanapun, suka saya ingatkan bahawa sumpah berkenaan perlu dilakukan dalam prosiding kehakiman dengan menggunakan lafaz kalimah ALLAH SWT berserta sifatnya,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Mengulas lanjut, pengamal undang-undang syariah itu menjelaskan, tidak semua prosiding memerlukan pendekatan tersebut. Sebaliknya, hanya terdapat kes-kes tertentu sahaja yang boleh menerima pakai penggunaan sumpah. Ia termasuklah dalam kes pertunangan, perkahwinan, cerai, rujuk, perceraian, nusyuz atau apa-apa sahaja perkara yang berkaitan dengan hubungan suami isteri.

Baca juga Tuntut Balik Cincin Selepas Putus Tunang, Ketahui Pandangan Agama Dalam Hal Ini

“Di samping itu, lafaz sumpah juga boleh digunakan dalam kes nafkah orang tanggungan, kesahtarafan, penjagaan kanak-kanak (hadanah), pembahagian atau tuntutan harta sepencarian.

“Selain itu, ia juga diterima jika melibatkan perkara-perkara lain yang dibenarkan oleh hukum syarak di bawah bidang kuasa mahkamah syariah yang dinyatakan oleh mana-mana undang-undang bertulis,” jelas beliau.IKLAN

Penyelesaian terakhir

Dalam Islam, sememangnya terdapat sumpah laknat dengan matlamat khusus menerusi kaedah yang betul untuk tujuan perbicaraan dan mencari kebenaran.

Bagaimanapun, Ketua Pusat Pengajian (Pendidikan & Pengajian Islam), Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA, Prof Madya Dr Mohd Nor Mamat mengingatkan, ia bukan sekadar kata-kata untuk memperkukuh kebenaran menerusi ungkapan yang dilafazkan, tetapi juga sanggup menerima laknat ALLAH SWT jika individu tersebut berbohong.

Meskipun sumpah laknat dibenarkan dalam Islam untuk menyelesaikan sesuatu perbalahan atau pertikaian, namun pensyarah itu menyarankan, sebaiknya kita membudayakan berkata benar dan jujur tanpa memerlukan sumpah sebegini.

“Jika perlu (sumpah mubahalah) sekalipun, biarlah ia menjadi penyelesaian yang terakhir apabila tiada pilihan lain.

“Sebenarnya, dalam perundangan Islam, sumpah mubahalah bukanlah satu keperluan, sebaliknya hanya diperlukan sumpah penyaksian sekiranya diminta oleh pemerintah atau penguat kuasa kehakiman,” katanya kepada Sinar Islam Plus.

Begitupun, Dr Mohd Nor mengingatkan umat Islam agar menghindari masjid andai ingin melakukan sumpah berkenaan kerana ia bukanlah tempat yang sesuai.

“Elakkan dilakukan di dalam masjid kerana ia bukanlah institusi kehakiman,” katanya.

Ahli akademik itu kemudiannya menceritakan kisah masyhur yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW berkaitan sumpah mubahalah.

“Baginda pernah mengajukan cabaran untuk melakukan sumpah mubahalah kepada kaum Nasrani dari Najran sekiranya mereka berkata benar. Namun begitu, ia tidak disambut oleh mereka.

SUMPAH perlu dibuat di hadapan hakim di mahkamah, bukannya di tempat awam atau dilakukan secara berbalas sumpah.

“Ini kerana ternyata mereka berbohong. Para sahabat seperti Ibn Mas’ud dan Ibn Abbas juga pernah menggunakan sumpah mubahalah untuk memperkukuh kebenaran kata-kata dan fatwa mereka,” ungkapnya.

Walaupun sumpah dalam masyarakat kita kadangkala bukanlah bersifat sebagaimana dalam syarak, namun Dr Mohd Nor mengingatkan agar kita tidak mempermainkan lafaz suci berkenaan.

“Ya, ada orang begitu mudah melafazkan ungkapan seperti ‘sumpah aku pernah kurus’ atau ‘sumpah aku tak buat, kalau aku tipu nanti, bengkok tangan aku’ dan sebagainya, namun ia tidak sewajarnya dijadikan mainan atau bahan sendaan.

“Apatah lagi jika bersumpah menggunakan nama ALLAH SWT,” ujarnya. – Sinarislamplus

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts