- Pernah suatu ketika Rasulullah keluar untuk menunaikan solat subuh dari rumah isterinya Saidatina Juwairiyah dan Baginda dapati, Juwairiyah sedang duduk ditempat solatnya.
- Apabila selesai solat subuh (ketika waktu Dhuha), Rasulullah pulang ke rumah dan mendapati Saidatina Juwairiyah masih ditempat duduknya (sama seperti keadaan Rasulullah keluar dari rumah tadi).
- Lalu Rasulullah bertanya kepadanya: “Apakah kamu masih seperti ini ketika aku keluar tadi?” Juwairiyah menjawab: Ya. Lalu Rasulullah mengajarkan Juwairiyah satu zikir yang sekiranya diucapkan tiga kali sahaja sudah sama pahalanya dengan apa yang Juwairiyah bacakan sepanjang hari. Lafaz zikir tersebut ialah:
سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ عَدَدَ خَلْقِهِ وَرِضَا نَفْسِهِ وَزِنَةَ عَرْشِهِ وَمِدَادَ كَلِمَاتِهِ
- Menurut al-Qastalani, zikir ini mengandungi empat elemen utama yang meliputi (1) hitungan jumlah makhluk (2) keluasan redha Allah, (3) timbangan Arasy (4) jumlah kalimahNya. Seakan-akan kita berharap tasbih yang diungkapkan meliputi segenap aspek di atas.
- Mulla Ali al-Qari pula menjelaskan bahawa mereka yang mengungkapkan zikir ini akan memperolehi pahala yang luas sepanjang hari (atau sepanjang pagi atau lebih). Kata beliau: لَتَرَجَّحَتْ تِلْكَ الْكَلِمَاتُ عَلَى جَمِيعِ أَذْكَارِكِ وَزَادَتْ عَلَيْهِنَّ فِي الْأَجْرِ وَالثَّوَابِ
“kalimah zikir yang diajarkan Baginda Nabi itu akan melampaui zikir-zikir yang dibaca oleh engkau (wahai Juwairiyah) bahkan lebih banyak pertambahan dari sudut ganjaran dan pahala.” (Mirqah al-Mafatih)
- Amalkan zikir yang diajarkan oleh Baginda Nabi buat isterinya ini. Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM