Prinsip keadilan Islam tidak memberi sebarang keistimewaan, pengecualian kepada sesiapa – Agong

KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah ketegasan prinsip keadilan Islam tidak membenarkan sebarang ketidakadilan kepada sesiapa termasuk golongan mereka yang tidak disenangi.

Baginda bertitah, pada masa sama, keadilan Islam juga tidak sama sekali memberi sebarang keistimewaan atau pengecualian kepada sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan sama ada terhadap diri sendiri, teman rapat, kaum keluarga, ibu dan bapa.

Titahnya, prinsip melaksanakan keadilan di dalam Islam itu sudah difirmankan oleh Allah seperti mana yang termaktub dalam surah An-Nisaa, ayat ke-135.

“Hakikatnya, undang-undang hanya memiliki satu bahasa, satu prinsip, satu hukuman dan satu aplikasi kepada sesiapa sahaja.

“Keadilan yang diamalkan tanpa memilih kasih berjaya mengangkat martabat Islam pada zaman Rasulullah SAW malah prinsip keadilan yang telus lagi terbuka turut berjaya membangunkan satu masyarakat yang adil, saksama, makmur dan sejahtera,” titahnya.

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan majlis perasmian dan pemasyuhuran Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Pahang, Kompleks Syariah Al-Sultan Abdullah, di sini, kelmarin.

Turut mencemar duli, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Pembinaan Kompleks Mahkamah Syariah itu siap sepenuhnya pada 23 September 2021 dengan peruntukan sebanyak RM44.75 juta.

Pada masa sama, Al-Sultan Abdullah bertitah, perintah Allah SWT yang terkandung dalam ayat al-Quran itu mengenai keadilan dalam Islam turut diperkukuhkan dengan hadis Rasulullah SAW.

Titahnya, hadis itu bermaksud, ‘Sesungguhnya telah biasa orang-orang yang sebelum kamu iaitu sekiranya yang mencuri itu yang berpangkat tinggi, lalu mereka dibiarkan sahaja, tetapi jika yang mencuri itu mereka yang lemah, lalu dengan segera dijatuhkan hukuman ke atasnya. Demi Allah, yang aku di dalam kekuasaannya, kalaulah Fatimah Binti Muhammad mencuri, nescaya aku potongkan tangannya.” – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts