6 situasi dibolehkan membuka aib orang lain

Di dalam Islam membuka aib orang lain adalah suatu perkara yang dilarang, hal itu ibarat seorang muslim yang memakan daging saudara muslimnya. Namun ada beberapa keadaan di mana seseorang itu diharuskan membuka aib orang lain, sebagaimana yang dituliskan oleh Imam al-Nawawi (w. 676H) dalam kitabnya al-Azkar.

Imam an-Nawawi tidak keseorangan dalam hal ini iaitu berkaitan keharusan seseorang membuka aib orang lain. Sebelum itu Imam al-Ghazali (w. 505H) dalam kitabnya Ihya’ Ulum al-Din juga telah menyentuh tentang perkara ini. Demikian juga beberapa ulama lain. Hujah mereka adalah berdasarkan beberapa hadith Nabi SAW, di antaranya adalah hadith riwayat Imam al-Bukhari seperti berikut :

Suatu ketika seorang lelaki meminta izin untuk bertemu Nabi SAW. Setelah itu Rasulullah SAW mengatakan, “Izinkan dia masuk, seburuk-buruk ahli kabilah lelaki ini!” Lelaki yang dimaksudkan adalah Uyainah bin Hishn al-Fazari yang terkenal sebagai orang yang selalu berkata kesat namun berpengaruh. Oleh yang demikian, Imam al-Bukhari membolehkan membuka aib orang yang buruk akhlaknya sebagai peringatan kepada orang lain.

Adapun enam situasi yang diharuskan membuka aib orang lain sebagaimana disebutkan dalam kitab al-Azkar adalah seperti berikut :

1.   Ketika melaporkan sebuah kezaliman. Orang yang sedang dizalimi dalam Islam dibenarkan untuk melaporkan kepada pihak berkuasa, hakim atau pihak-pihak berkaitan yang mempunyai autoriti untuk mengambil tindakan ke atas pihak yang menzalimi. Contohnya orang yang dizalimi dibenarkan mengatakan bahawa seseorang telah melakukan penderaan terhadap dirinya, mencemarkan nama baiknya atau yang seumpamanya.

2.  Ketika meminta bantuan untuk mengubah kemungkaran atau ketika hendak mengubah orang yang melakukan maksiat agar kembali kepada kebaikan. Iaitu ketika seseorang melaporkan kemungkaran atau maksiat kepada pihak berkuasa untuk mengubah kemungkaran tersebut. Seperti ketika seseorang melaporkan kepada pihak polis bahawa terdapat permainan judi dan minuman arak di kawasan sekitarnya.

3.  Ketika meminta fatwa (istifta’), seperti ketika seseorang meminta fatwa kepada mufti bahawa kakak atau ayah atau isterinya telah melakukan perkara jahat kepadanya. Tujuannya adalah supaya mufti memahami situasi yang sebenar dan memberikan fatwanya bertepatan dengan situasi orang yang meminta fatwa tersebut.

Namun menurut Imam Nawawi alangkah baiknya jika nama orang yang berkaitan disamarkan dengan hanya menyebut seorang lelaki atau seorang isteri. Adapun dalil keharusan menyebutkan aib ketika meminta fatwa adalah hadith Hindun yang menyebut suaminya sebagai orang yang kedekut, sebagaimana hadith riwayat ‘Aisyah berikut :

قَالَتْ هِنْدٌ أُمُّ مُعَاوِيَةَ لِرَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم إِنَّ أَبَا سُفْيَانَ رَجُلٌ شَحِيحٌ فَهَلْ عَلَيَّ جُنَاحٌ أَنْ آخُذَ مِنْ مَالِهِ سِرًّا قَالَ خُذِي أَنْتِ وَبَنُوكِ مَا يَكْفِيكِ بِالْمَعْرُوفِ.

Pernah suatu ketika Hindun Ummu Mu’awiyyah mengadu kepada Rasulullah SAW bahawa suaminya, yang bernama Abu Sufyan adalah seorang yang sangat bakhil, maka adakah boleh untuk dia mengambil harta suaminya secara sembunyi-sembunyi. Rasulullah SAW pun menjawab, “Silakan ambil untuk dirimu dan anak-anakmu secukupnya dengan cara yang baik!”

4.  Ketika memperingatkan umat Islam tentang suatu keburukan atau ketika menasihati mereka. Seperti syarat meriwayatkan sebuah hadith, seorang perawi yang memiliki  kekurangan bahkan wajib disebutkan kekurangannya, bukan bermaksud untuk memburukkan perawi tetapi untuk menjaga kualiti hadith dan secara tidak langsung menjaga agama Islam daripada pemalsuan.

5.  Ketika seseorang mempromosikan diri atau terang-terangan melakukan perbuatan fasik atau bid’ah, contohnya ketika seseorang terang-terangan meminum minuman keras di tempat awam. Maka aib seperti ini hukumnya wajib untuk dilaporkan, bahkan menurut imam Nawawi, haram hukumnya jika menceritakan tentang orang tersebut tidak seperti keadaannya yang sebenar. – Sumber BincangSyariah

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts