- Kita semua akan mati. Dan berita-berita kematian yang datang kepada kita seakan satu mesej peringatan buat kita. Dalam al-Quran, Allah telah mengingatkan kepada kita dalam al-Quran bahawa kematian itu adalah sesuatu yang pasti. Firman Allah:
كُلُّ نَفْسٍۢ ذَآئِقَةُ ٱلْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ
“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu.” (Surah Ali Imran: 185)
- Perhatikan dalam ayat ini bagaimana Allah mengaitkan kematian dengan amalan kebajikan yang kita lakukan. Ia mengingatkan kepada kita apakah amalan yang telah kita persiapkan untuk menghadapi kehidupan di hari akhirat kelak.
- Sebab itu para salaf terdahulu sangat bimbang tentang bagaimana pengakhiran hidup mereka. Menurut Ibn Rajab al-Hanbali, golongan Salaf sangat bimbang akan perihal bagaimana kematian mereka nanti. Hadith yang diungkapkan oleh Nabi ﷺ tentang kematian yang buruk (su’ al-khatimah) menyebabkan mereka sentiasa berdoa agar meninggal dalam keadaan yang baik. Sabda Rasulullah ﷺ: وَإِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالخَوَاتِيمِ
“Sesungguhnya amalan itu (dinilai) pada pengakhirannya.”
- Ata’ al-Khaffaf sering ternampak Sufyan al-Thawri dalam keadaan menangis. Apabila ditanya, apakah yang membuatkan kamu menangis? Sufyan menjawab: “kerana aku bimbang bagaimana pengakhiran hidupku nanti.”
Tahukah kita siapa Sufyan al-Thawri? Menurut Imam al-Zahabi, Sufyan adalah “Penghulu Ulama di zamannya.” Imam Ahmad bin Hanbal pula menggambarkan peribadi Sufyan sebagai “Tokoh yang memenangi hatiku.” Sufyan al-Thawri adalah Imam Hadith yang tersohor. Menurut Yahya al-Qattan: Sufyan al-Thawri lebih tinggi kedudukannya dari Imam Malik. Namun, walau tinggi ilmu dan kedudukan Sufyan al-Thawri, beliau masih lagi menangis setiap malam kerana bimbang akan bagaimana kematian yang akan dilalui.
- Malik bin Dinar diriwayatkan bangun sepanjang malam. Beliau memegang janggutnya sambil berkata: Wahai tuhanku, sesungguhnya engkau telah mengetahui siapakah penghuni syurga dan neraka. Maka dimanakah Malik akan ditempatkan?
Tahukah kita siapa Malik bin Dinar? Beliau adalah tokoh al-Quran yang zuhud. Pernah belajar dengan sahabat Nabi yang tersohor iaitu Saidina Anas bin Malik. Malik bin Dinar juga adalah guru kepada Hasan al-Basri. Al-Zahabi menyifatkan beliau sebagai antara guru kepada ulama salaf yang terdahulu. Walaupun diiktitiraf mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi salaf, Malik bin Dinar masih sangat risau akan bagaimana penghujung kehidupannya nanti.
- Selain menyediakan bekalan amalan yang akan dibawa untuk berjumpa dengan Allah, adakah kita merancang tentang pengurusan harta dan wasiat. Adakah kita akan meninggalkan keluarga dengan bebanan hutang? Tahukah kita bagaimana Saidina Abdullah bin Umar berpesan melalui sabda Rasulullah tentang wasiat dan pengurusan harta sebelum meninggal. Begitu juga Sa’d ibn Abi Waqas yang meninggalkan harta agar keluarganya tidak kesusahan sesudah kematian.
Benarlah kata hukama, cukuplah mati sebagai peringatan yang menginsafkan.
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM