Hukum sujud di atas tali serban atau kain rida’ yang dipakai ketika solat

SOALAN

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya tentang hukum sujud di atas tali serban atau kain rida’ yang menghalang tempat sujud ketika solat. Adakah ia menyebabkan solat menjadi tidak sah?

Mohon pencerahan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Serban atau kain rida’ yang tidak dipakai atau berpisah daripada badan seseorang boleh untuk sujud di atasnya dan tidak membatalkan solat. Namun jika tali serban atau kain rida itu bersambung dengan badan dan bergerak dengan pergerakan orang yang solat tersebut, maka tidak boleh untuk sujud di atasnya dan solatnya batal. Oleh itu, jika ekor serban atau kain rida’ itu menghalang tempat sujud maka hendaklah dialihkan supaya dahi menyentuh tempat sujud.

Hikmahnya adalah supaya manusia dapat merasakan sifat kehambaan dan ketundukan kepada Allah SWT dengan meletakkan bahagian yang paling mulia baginya iaitu dahi di tempat kedudukan kakinya.

WaAllahu a’lam. 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Antara syarat sah sujud ialah mestilah sujud dengan sebahagian daripada dahi mengenai tempat sujud. Oleh itu, sebahagian dahi hendaklah menyentuh tempat sujud tanpa halangan yang menghalangnya sama ada daripada pakaian yang dipakai, benda yang ditanggung oleh seseorang  atau bersambung dengan dirinya ketika solat.

Sebagai contoh, jika seseorang sujud di atas pakaian yang dipakainya atau benda yang ditanggungnya ketika solat, maka terdapat dua hukum dalam dua situasi  ini iaitu:

  • Sah: Jika bahagian pakaian yang mengena tempat sujud tidak bergerak dengan pergerakan orang yang solat tersebut seperti saiznya yang besar dan panjang yang menyebabkan sebahagian daripadanya tidak bergerak dengan pergerakan orang yang solat tersebut.
  • Tidak sah: Jika ia bergerak dengan pergerakan orang yang solat tersebut.

Imam al-Nawawi menyebutkan hal di dalam kitabnya bahawa:

السابع: السجود وأقله مباشرة بعض جبهته مصلاه فإن سجد على متصل به جاز إن لم يتحرك بحركته

Maksudnya: Rukun solat ke-7: Sujud dan kadar minima bagi sujud ialah hendaklah sebahagian dahi menyentuh tempat sujudnya. Jika seseorang sujud di atas sesuatu yang bersambung dengan dirinya, maka sah jika ia tidak bergerak dengan pergerakannya.(Rujuk Minhaj al-Talibin, 1:27)

Manakala Imam al-Khatib al-Syarbini pula menjelaskan maksud kata pengarang di atas dengan berkata:

(فَإِنْ سَجَدَ عَلَى مُتَّصِلٍ بِهِ) كَطَرَفِ كُمِّهِ الطَّوِيلِ أَوْ عِمَامَتِهِ (جَازَ إنْ لَمْ يَتَحَرَّكْ بِحَرَكَتِهِ) ؛ لِأَنَّهُ فِي حُكْمِ الْمُنْفَصِلِ عَنْهُ، إنْ تَحَرَّكَ بِحَرَكَتِهِ فِي قِيَامٍ أَوْ قُعُودٍ أَوْ غَيْرِهِمَا كَمِنْدِيلٍ عَلَى عَاتِقِهِ لَمْ يَجُزْ، فَإِنْ كَانَ مُتَعَمِّدًا عَالِمًا بَطَلَتْ صَلَاتُهُ أَوْ نَاسِيًا أَوْ جَاهِلًا لَمْ تَبْطُلْ وَأَعَادَ السُّجُودَ.

Maksudnya: Jika seseorang itu sujud di atas sesuatu yang bersambung dengan dirinya seperti hujung pergelangan baju yang panjang atau kain serbannya, maka hal itu dibolehkan jika ia tidak bergerak dengan pergerakannya (orang yang mengerjakan solat). Hal ini disebabkan kerana ia dikira sebagai sesuatu yang berpisah dengannya. Manakala jika sesuatu itu bergerak dengan pergerakannya ketika dia berdiri, duduk atau selainnya seperti kain di atas bahu maka tidak diharuskan (haram). Oleh itu, jika seseorang itu sengaja sujud di atasnya dalam keadaan dia mengetahui hukumnya, maka solatnya batal. Namun jika sekiranya dia terlupa atau jahil, solatnya tidak batal dan hendaklah dia mengulang semula sujudnya tersebut.  (Rujuk Mughni al-Muhtaj, 1:372)

Hal yang demikian disebabkan oleh pakaian atau benda yang ditanggung oleh seseorang yang solat itu jika ia tidak bergerak dengan pergerakan orang tersebut, maka hukumnya sama seperti sesuatu yang tidak bersambung atau terpisah daripadanya.

Hikmah daripada suruhan ini adalah supaya manusia dapat menghayati perasaan ketundukan dan kehambaan kepada Allah SWT dengan meletakkan bahagian yang paling mulia baginya iaitu dahi di atas tempat kedudukan kakinya. Hal ini seperti disebutkan oleh Ibn Hajar di dalam kitabnya bahawa:

وَحِكْمَتُهُ أَنَّ الْقَصْدَ مِنْ السُّجُودِ مُبَاشَرَةُ أَشْرَفِ الْأَعْضَاءِ وَهُوَ الْجَبْهَةُ لِمَوَاطِئِ الْأَقْدَامِ لِيَتِمَّ الْخُضُوعُ وَالتَّوَاضُعُ الْمُوجِبُ لِلْأَقْرَبِيَّةِ السَّابِقَةِ فِي خَبَرِ: «أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ إذَا كَانَ سَاجِدًا»

Maksudnya: Hikmahnya (suruhan sujud di atas tempat sujud) adalah kerana tujuan sujud itu supaya bahagian yang paling mulia bagi manusia iaitu dahinya diletakkan di tempat pijakan kakinya agar dapat menyempurnakan perasaan ketundukan dan tawaduk yang membawa keadaan mendekatkan dirinya kepada Allah SWT berdasarkan hadis yang telah disebutkan sebelum ini, ‘Keadaan yang paling hampir seseorang hamba kepada Tuhan-nya adalah ketika seorang itu sedang sujud.’ (Rujuk Tuhfat al-Muhtaj, 2:70)

WaAllahu a’lam. – Muftiwp

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts