- Sheikh Dr. Yusuf al-Qaradawi telah meninggal dunia kelmarin.Dunia Islam menangisi pemergian tokoh terkemuka ini yang telah meninggalkan legasi dan sumbangan yang amat besar dalam membimbing umat ini.
- Beliau menghasilkan ratusan karya penulisan (kurang lebih 170 judul) yang telah diterjemahkan ke dalam ratusan bahasa asing. Ambil sahaja buku beliau bertajuk Halal dan Haram dalam Islam yang telah diulang cetak sebanyak 70 cetakan (atau lebih) dan diterjemahkan ke puluhan bahasa asing.
- Kematian adalah satu ruang peringatan terbaik buat diri kita semua. Mari kita renungkan bersama, andai kita meninggal nanti, apakah amalan yang terbaik yang mampu kita wariskan sebagai bekalan buat kita bertemu dengan Allah. Firman Allah:
ٱلْمَالُ وَٱلْبَنُونَ زِينَةُ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا ۖ وَٱلْبَٰقِيَٰتُ ٱلصَّٰلِحَٰتُ خَيْرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ أَمَلًا
“Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan” (Surah al-Kahfi: 46)
- Allah mengingatkan kita bahawa harta dan anak-anak kita hanyalah perhiasan dunia yang tidak akan berupaya menjadi bekalan buat kita. Apa yang lebih tepat adalah bagaimana perhiasan ini dijadikan amalan sebagai bekalan buat kita bertemu dengan Allah di akhirat kelak.
- Kata al-Imam al-Tabari yang dimaksudkan dengan “baqiyat” (amalan-amalan soleh) itu adalah semua amalan kerana hanya amal soleh ini yang akan kekal. Kata Ibn Jarir:
كله من الصالحات التي تبقى لصاحبها في الآخرة، وعليها يجازى ويثاب
“Semua amal soleh akan kekal buat pelakunya di akhirat dan dengan amal soleh itulah yang seseorang itu akan diberi pahala dan ganjaran.”
- Manakala dalam sebuah hadis Rasulullah memberikan panduan:
إذا ماتَ ابن آدم انْقَطَعَ عنه عَمَلُهُ إلاَّ مِنْ ثَلاَثةٍ: صَدَقَةٍ جارِيَةٍ، أوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أوْ وَلَدٍ صالحٍ يَدْعُو لهُ
“Apabila meninggalnya anak Adam, terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara: (1) Sedekah jariah, (2) ilmu yang bermanfaat, serta (3) anak yang soleh yang mendoakan mereka.
- Justeru, ini adalah titik muhasabah buat diri kita semua. Adakah kita telah mempersiapkan diri kita dengan amal soleh yang secukupnya yang akan menemani kita ketika bertemu dengan Allah?
Apakah sudah kita meninggalkan amal jariah yang sentiasa mengalir? atau ilmu yang bermanfaat yang dititipkan yang sentiasa diamalkan oleh orang lain? atau anak-anak yang soleh yang akan sentiasa mendoakan kita?
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM