BACHOK: Usaha pihak tertentu mahu meruntuhkan akidah umat Islam tidak akan berjaya sekiranya institusi pendidikan pondok terus dipertahankan di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad berkata, pelbagai usaha dilakukan pihak tertentu bagi mencemarkan institusi pondok termasuk menggelar sebagai tempat ekstremis.
Katanya tuduhan tersebut jelas tidak berasas yang sengaja dilemparkan bagi menjejas pusat pengajian pondok di mata masyarakat.
“Tuduhan pondok sebagai tempat melahirkan ekstremis dan pelampau itu tidak betul. Sedangkan semua orang tahu pondok menjadi benteng mempertahankan akidah orang Islam,” katanya ketika merasmikan penutup Ijtimak Persatuan Pondok Se-Malaysia di Pusat Pengajian Pondok Kandis dekat sini malam tadi.
Hadir sama anggota-anggota Exco kerajaan negeri Dato Dr Mohamed Fadzli Hassan, Tuan Saripudin Tuan Ismail, Penasihat Persatuan Pondok Kelantan Syeikh Wazir Che Awang, bekas Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang Othman Baqi dan guru-guru pondok dari seluruh negara.
Idris juga berkata, peranan institusi pondok tidak dapat dinafikan lagi bagi menyebar luas kefahaman masyarakat tentang agama.
“Sekarang hendak cari calon imam masjid di kampung-kampung agak sukar kerana kekurangan calon yang berkelayakan dalam bidang agama.
“Alhamdulillah di Kelantan dan Kedah masih terdapat banyak institusi pendidikan pondok yang menjadi benteng mempertahankan akidah umat Islam,” ujarnya.
Dr Mohamed Fadzli pula berkata, kerajaan Kelantan sentiasa membantu pusat pengajian pondok bagi memastikan ia terus berkembang.
Menurutnya kerajaan negeri membantu guru-guru pondok untuk membolehkan mereka terus berkhidmat bagi mendidik anggota masyarakat dengan ilmu agama.
Syeikh Wazir pula mengingatkan Yahudi dan Nasrani tidak pernah berdiam diri bagi menjarakkan umat Islam dengan Rasulullah saw bagi melemahkan mereka terhadap amalan agama. – HARAKAHDAILY
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM