‘Sedarlah wahai pemimpin, jangan jadi pengkhianat amanah’ – Sultan Selangor

Shah Alam: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah mengingatkan bahawa pemimpin yang hanya mahukan kuasa dan mencari kekayaan dunia, akan menjadi perosak dan pengkhianat kepada rakyat dan negara.

Menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin turut menegaskan pemimpin yang khianat, menipu dan menyalahgunakan kuasa untuk mengumpul kekayaan diri, pasti akan dibenci oleh rakyat dan dikutuk oleh Allah SWT kerana boleh menjahanamkan negara.

“Sesungguhnya pemimpin yang tidak menegakkan nilai integriti, kejujuran dan amanah, akan menyebabkan pemimpin itu sendiri terjerumus ke dalam aktiviti bersifat kemunafikan dan kemaksiatan, seperti amalan rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah dan menyebarkan fitnah, yang mengakibatkan kerosakan sebuah kehidupan bermasyarakat dan bernegara,” titah baginda.

Sultan Selangor bertitah, pemimpin yang berintegriti, jujur dan beramanah, bukan sahaja akan mengubah landskap dan ekosistem kehidupan bermasyarakat, bahkan akan memacu negara untuk mencapai matlamat yang telah dirangka, agar menjadi sebuah negara mampan, stabil, dihormati dan beridentiti.

Sultan Sharafuddin bertitah, junjungan besar Nabi kita Muhammad SAW, telah menonjolkan dirinya sebagai ikon hamba Allah yang berintegriti tinggi, sehingga dikenali dengan gelaran ‘al-Amin’, iaitu ‘yang sangat dipercayai’ dalam kalangan masyarakat Islam ketika itu.

Justeru baginda bertitah, integriti berlandaskan nilai-nilai Islam yang berpaksikan kepada kekuatan akidah, syariah dan akhlak, adalah penyelesaian terbaik kepada kerosakan dan kemelut yang berlaku dalam diri, organisasi dan negara hari ini.

“Sedarlah wahai pemimpin, janganlah kamu menjadi pengkhianat terhadap amanah yang diberikan,” titah baginda sambil menambah sifar jujur dan amanah hendaklah menjadi identiti yang sebati dalam diri pemimpin.

Titah baginda golongan pemimpin hendaklah menyerlahkan bukan sahaja kelembutan budi bahasa, tetapi kemuliaan akhlak dari sudut kejujuran dan keikhlasan, serta boleh diyakini dan dapat dipercayai oleh rakyat bahkan mengundang kehormatan daripada negara lain di dunia.- My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts