Soalan
Assalamualaikum, baru-baru ini tular di media sosial berkenaan hand gesture atau isyarat tangan finger cross yang menunjukkan doa untuk mendapat nasib yang baik dan mengelak daripada keburukan. Mohon penjelasan berkenaan hukumnya dan adakah perbuatan itu menyerupai salib dan memohon daripadanya. Terima kasih
Ringkasan Jawapan
Boleh melakukan apa-apa isyarat atau finger cross atas apa-apa tujuan atau pemudah cara komunikasi dan semata-mata isyarat sahaja, di samping mempercayai sepenuhnya bahawa hanya Allah SWT yang berkuasa menentukan untung nasib dan takdir seseorang itu.
Walau bagaimanapun sekiranya boleh mendatangkan fitnah dan tohmahan, maka hendaklah menghindarinya. Bahkan haram sekiranya mempercayai dengan melakukan isyarat finger cross boleh mendatangkan keuntungan dan nasib baik serta dapat menghindari perkara buruk. Umat Islam seharusnya mengucapkan salam dan berdoa kepada Allah SWT agar mendapat kebaikan dan dihindari daripada keburukan.
Huraian Jawapan
Hand Gesture atau isyarat tangan mempunyai fungsi dan maksud yang tersendiri sebagai pemudah cara berkomunikasi sesama manusia. Sebagai contoh di Malaysia, umum mengetahui bahawa isyarat mengangkat ibu jari menunjukkan tanda bagus atau baik , begitu juga dengan isyarat jari telunjuk dan jari tengah berbentuk V yang membawa maksud keamanan(peace). Dalam hal ini, hukum melakukan isyarat tangan adalah diharuskan seperti mana kaedah fiqh yang menyebut:
الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإباحَة حَتَّى يَدُل الدَّلِيل عَلَى التَّحْرِيمِ
Maksudnya: Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah terdapat dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).[1]
Selain itu, isyarat tangan dengan melakukan silangan jari tengah dan jari telunjuk (finger cross) menunjukkan isyarat berharap supaya memperoleh nasib yang baik dan menghindar nasib malang.[2] Sebagai contoh, seseorang itu akan menyilangkan jarinya sebagai isyarat mengharap tuah dan nasib yang baik serta isyarat untuk mengucapkan kejayaan dan kebahagiaan.[3]
Isyarat finger cross dikatakan amalan masyarakat Kristian pada era awal dan pertengahan agama Kristian sebagai isyarat memohon kebaikan dan menghindar keburukan. Namun menurut Larry Ray Palmer, dakwaan ini tidak terdapat bukti yang kukuh. Selain itu, isyarat finger cross tidak diguna dan dipraktikkan oleh masyarakat Muslim dan Buddha. Menurut beliau lagi, wujud teori yang menyatakan bahawa isyarat ini digunakan oleh penganut agama Kristian pada era awal bagi menyembunyikan identiti agamanya kerana mengamalkan agama Kristian menjadi satu kesalahan. Oleh itu dengan memberi isyarat finger cross mereka dapat mengenali satu sama lain dan menjadikan ia sebagai isyarat rahsia. Pada era peperangan di antara Perancis dan England pada tahun 1337 hingga 1457, isyarat finger cross digunakan oleh tentera berpanah sebelum menarik tali busurnya sebagai tanda doa dan mengharap untuk mendapat keberuntungan yang baik agar anak panahnya menepati sasaran.[4]
Berdasarkan kenyataan di atas, isyarat finger cross bukanlah satu isyarat khusus bagi agama Kristian seperti salib bahkan ia tidak diamalkan dalam upacara keagamaan mereka. Walau bagaimanapun, perbuatan mempercayai keberuntungan dan nasib baik akan berlaku dengan melakukan isyarat finger cross adalah bercanggah dengan ajaran Islam. Hal ini kerana keberuntungan dan nasib hanya ditentukan oleh takdir Allah SWT. Hadis yang diriwayatkan oleh Yahya bin Ya’mur RA, Nabi SAW bersabda:
أَنْ تُؤْمِنَ بِاللَّهِ وَمَلاَئِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ
Maksudnya: Beriman kepada Allah SWT, para MalaikatNya, Kitab-kitabNya, para RasulNya dan Hari Akhirat, serta beriman kepada takdir baik dan buruk.
Riwayat Muslim (8)
Di samping itu, melakukan isyarat finger cross serta mempercayainya adalah amalan segelintir daripada mereka yang bukan Islam dan fasik. Hal ini dibimbangi akan terjerumus dengan ancaman tasyabbuh atau menyerupai mereka. Hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar sabda Nabi SAW:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya: Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah dari kalangan mereka.
Riwayat Abu Daud (4031)
Imam al-San’ani di dalam karyanya Subul al-Salam menyebut bahawa hadis ini menerangkan tentang mereka yang menyerupai golongan fasik, kafir atau ahli bidaah khususnya dalam meniru pakaian, tunggangan dan perbuatan mereka.[5]
Selain itu, jika isyarat finger cross ini boleh mendatangkan kejanggalan dan bercanggah dengan adat kebiasaan masyarakat maka hendaklah ia dihindari dan dijauhi. Imam al-Ghazali di dalam karyanya Ihya’ ‘Ulum al-Din menukilkan sebuah hadis yang menyebut:
أَنْ يَتَّقِيَ مَوَاضِعَ التُّهَمِ
Maksudnya: Hendaklah berhati-hati dengan ruang-ruang tohmahan.[6]
Berdasarkan hujah di atas, dapat disimpulkan bahawa boleh melakukan apa-apa isyarat atau finger cross atas apa-apa tujuan atau pemudah cara komunikasi dan semata-mata isyarat sahaja, di samping mempercayai sepenuhnya bahawa hanya Allah SWT yang berkuasa menentukan untung nasib dan takdir seseorang itu.
Walau bagaimanapun sekiranya boleh mendatangkan fitnah dan tohmahan, maka hendaklah menghindarinya. Bahkan haram sekiranya mempercayai dengan melakukan isyarat finger cross boleh mendatangkan keuntungan dan nasib baik serta dapat menghindari perkara buruk. Bagi umat Islam, seharusnya seseorang itu mengucapkan salam dan berdoa kepada Allah SWT agar mendapat kebaikan dan dihindari daripada keburukan.
Wallahu’alam