Contohilah kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz

PUTRAJAYA: Teladanilah Khalifah Umar Abdul Aziz yang berjaya menunjukkan salah satu contoh kepemimpinan unggul dan terbaik. 

Itu antara intipati khutbah Jumaat yang dibacakan Imam Besar Masjid Putra, Salahuddin Ghozali hari ini yang bertajuk ‘Nasihat Buat Pemimpin: Khalifah Umar bin Abdul  Aziz Contoh Teladan’. 

Salahuddin berkata, keteladanan Khalifah Umar perlu menjadi panduan dan ikutan dalam mewujudkan sebuah negara yang diberkati seiring dengan pembangunannya secara holistik.

Menurutnya, Khalifah Umar adalah salah satu khalifah unggul dalam sejarah pemerintahan kerajaan Islam dan patut menjadi contoh kepada pemimpin terutama beragama Islam. 

“Khalifah Umar ternyata terlalu sedih dan gelisah dengan beban tanggungjawab yang dipikulnya sesudah dilantik menjadi Khalifah selepas kemangkatan Khalifah Sulaiman Abdul Malik. 

“Selesai menunaikan solat, beliau berdoa dan menangis dan mengadu kepada isterinya tentang keresahan beliau mengenangkan beban untuk menguruskan umat Nabi Muhammad SAW.

“Khalifah Umar tidak menerima kenderaan yang diperuntukkan khas untuknya bahkan beliau menjual semua kenderaan tersebut dan wang hasil jualan itu disumbangkan kepada Baitulmal.

“Beliau juga turut melatih ahli keluarganya supaya turut zuhud sepertinya. Anak beliau sendiri memakai pakaian yang terlalu sederhana meskipun bersih tetapi koyak, walaupun pada hari raya,” katanya.

Katanya, kezuhudan Khalifah Umar ini sememangnya sangat luar biasa dan  memerlukan mujahadah dan ketakwaan yang sangat tinggi untuk diteladani. 

Tambah Salahuddin, teguhnya Umar menjaga amanah dan melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang pemimpin didasari atas dasar keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT hingga menjadikan rakyatnya hidup dalam aman damai dan kaya. 

Katanya, Umar juga menyedari hakikat bahawa setiap tanggungjawabnya itu akan dipersoalkan di akhirat kelak dan menginsafi azab seksa Allah SWT yang sangat dahsyat kepada pemimpin yang mencuaikan amanahnya. 

Sementara itu, Salahuddin berkata, pemilihan sebagai seorang pemimpin ini bukanlah suatu kebanggaan tetapi merupakan amanah yang cukup berat untuk dipikul dan semestinya untuk dijawab di hadapan Allah SWT.

“Semoga ia juga menjadi motivasi buat para pemimpin sekalian dalam menjalankan amanah dengan adil dan saksama tanpa mengira agama, bangsa, latar belakang dan fahaman kepartian.

“Manakala bagi seluruh rakyat pula, kekal  tenang dalam menghadapi apa jua situasi hari ini. Kita bertanggungjawab menumpahkan taat setia kepada kepimpinan yang telah dipilih. 

“Selain itu juga, seluruh rakyat perlu meningkatkan rasa kasih sayang, saling menghormati antara satu sama lain walau berbeza fikrah.

“Tinggalkanlah budaya kutuk-mengutuk, tuduh-menuduh, serta prasangka buruk antara satu sama lain kerana tumpuan utama kita sekarang ialah untuk sama-sama membangunkan negara secara seluruhnya bagi mendepani masa depan yang lebih mencabar,” katanya. – UTUSAN

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts