Soalan:
Assalamualaikum SS Datuk, bolehkah pihak masjid menutup masjid pada bukan waktu solat kerana ia akan menyukarkan bagi orang musafir untuk menunaikan solat. Bukankah masjid tu hak orang ramai?
Ringkasan Jawapan:
Hukum mengunci masjid pada bukan waktu solat adalah harus jika ada keperluan tertentu seperti untuk menjaga peralatan masjid dari dicuri. Namun jika tidak ada keperluan sebaiknya masjid tidak dikunci sebagaimana masjid di zaman Nabi SAW dan ini lebih memberi kemudahan kepada orang ramai.
Pihak masjid boleh menyediakan ruangan khusus seperti beranda masjid yang lengkap dengan kemudahan seperti kipas, lampu dan sejadah untuk memudahkan kegunaan orang ramai, dan mengunci bahagian masjid yang dirasakan perlu seperti dewan solat yang utama.
Huraian Jawapan:
Menjadi kebiasaan orang ramai akan berhenti di mana-mana perhentian atau masjid untuk menunaikan solat. Setengah pihak pengurusan masjid akan mengunci masjid bagi mengelakkan berlaku kecurian atau lainnya ketika tidak ada sesiapa di Masjid. Meskipun pihak masjid mengunci bahagian dalam masjid namun masih ada kawasan luar masjid yang boleh untuk didirikan solat.
Imam al-Nawawi menjelaskan berkenaan hukum mengunci masjid pada bukan waktu solat dengan katanya:
قَالَ الصَّيْمَرِيُّ وَغَيْرُهُ مِنْ أَصْحَابِنَا لَا بَأْسَ بِإِغْلَاقِ الْمَسْجِدِ فِي غَيْرِ وَقْتِ الصَّلَاةِ لِصِيَانَتِهِ أَوْ لِحِفْظِ آلَاتِهِ هَكَذَا قَالُوهُ وَهَذَا إذَا خِيفَ امْتِهَانُهَا وَضَيَاعُ مَا فِيهَا وَلَمْ يَدْعُ إلَى فَتْحِهَا حَاجَةٌ: فَأَمَّا إذَا لَمْ يُخَفْ مِنْ فَتْحِهَا مَفْسَدَةٌ وَلَا انْتِهَاكُ حُرْمَتِهَا وَكَانَ فِي فَتْحِهَا رِفْقٌ بِالنَّاسِ فَالسُّنَّةُ فَتْحُهَا كَمَا لَمْ يُغْلَقْ مَسْجِدُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي زَمَنِهِ وَلَا بَعْدَهُ
Maksudnya: “al-Soimari dan selainnya dalam kalangan ulama mazhab Syafi’i; berkata tidak mengapa mengunci masjid pada bukan waktu solat untuk menjaga masjid atau memelihara peralatan yang ada dalam masjid. Namun begitu ia hanya jika dikhuatiri masjid akan dicemari atau kehilangan peralatan masjid serta tidak ada keperluan (untuk membuka masjid pada bukan waktu solat). Adapun jika tidak dikhuatiri apa-apa kerosakan atau mencarik kehormatan masjid di samping membukanya akan lebih memudahkan orang ramai maka sunnahnya pintu masjid perlu dibuka sebagaimana masjid Nabi SAW pada zaman Baginda dan selepasnya[1].”
Daripada keterangan Imam al-Nawawi ini dapat disimpulkan bahawa hukum mengunci masjid pada bukan waktu solat adalah harus jika ada keperluan. Namun jika tidak ada keperluan sebaiknya masjid tidak dikunci sebagaimana masjid di zaman Nabi SAW dan ini lebih memberi kemudahan kepada orang ramai. Memudahkan urusan orang lain adalah suatu yang dituntut dalam agama. Nabi SAW bersabda dalam sebuah hadis:
ومن يسَّرَ على مُعسرٍ في الدُّنيا يسَّرَ اللَّهُ عليهِ في الدُّنيا والآخرةِ
Maksudnya: “Siapa yang memudahkan urusan orang yang dalam kesusahan maka Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat.”
(Riwayat al-Tirmizi) – Muftiwp
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM