SOALAN
Assalamualaikum. Saya bangun dalam keadaan berjunub dan waktu solat telah hampir tamat, bolehkah saya hanya mengambil wuduk untuk mendirikan solat kerana kesuntukan masa untuk mandi wajib?
Mohon penjelasan. Terima kasih.
RINGKASAN JAWAPAN
Tidak sah solat bagi orang yang berjunub dengan hanya berwuduk dan tidak mandi wajib. Oleh itu, seseorang hendaklah mandi wajib terlebih dahulu kerana ia merupakan syarat sah solat dan tidak boleh hanya berwuduk untuk mendirikan solat. Jika dia terlepas waktu kerana melaksanakan mandi wajib dan wuduk, maka hendaklah dia mendirikan solat yang ditinggalkannya tersebut secara qada.
WaAllahu a’lam.
HURAIAN JAWAPAN
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Antara syarat sah solat ialah mestilah suci daripad hadas kecil dan besar bagi yang mampu untuk melakukannya. Imam al-Khatib al-Syirbini menjelaskan hal ini bahawa:
(طَهَارَةُ الْأَعْضَاءِ مِنْ الْحَدَثِ) الْأَصْغَرُ وَغَيْرُهُ فَلَوْ لَمْ يَكُنْ مُتَطَهِّرًا عِنْدَ إحْرَامِهِ مَعَ الْقُدْرَةِ عَلَى الطَّهَارَةِ لَمْ تَنْعَقِدْ صَلَاتُهُ
Maksudnya: Suci anggota badan daripada hadas kecil dan besar. Jika seseorang tidak suci daripada hadas ketika takbiratul ihram dalam keadaan dia mampu untuk melakukannya, maka tidak sah solatnya(Rujuk al-Iqna’, 1:179)
Begitu juga, jika seseorang itu sengaja atau terlupa mendirikan solat tanpa suci daripada kedua-dua hadas tersebut, maka solatnya tidak sah. Hal ini sepertimana disebutkan oleh Syeikh Nawawi al-Bantani bahawa:
(طهارة الحدثين) أي عند قدرته فلو صلى بدونها ولو ناسياً لم تصح صلاته
Maksudnya: Antara syarat sah solat ialah suci daripada dua hadas bagi orang yang mampu untuk melakukannya. Jika seseorang mendirikan solat tanpa suci daripada hadas walaupun dalam keadaan terlupa, maka tidak sah solatnya.(Rujuk Kasyifat al-Saja, 49)
Oleh yang demikian seseorang hendaklah mandi wajib terlebih dahulu sebelum mendirikan solat dan tidak boleh hanya mengambil wuduk sahaja walaupun akan terlepas waktu solat. Oleh itu, jika terlepas waktu solat maka hendaklah dia mendirikan solat yang ditinggalkannya tersebut secara qada.
WaAllahu a’lam.
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam: