Ibrah daripada ujian mangsa gempa Turkiye-Syria

“Sesungguhnya, Kami akan menguji kamu semua dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta benda, nyawa (penyakit) dan kekurangan hasil mahsul bumi. Beruntunglah bagi mereka yang sabar atas segala dugaan itu.” (Surah al-Baqarah, ayat 155)

Ulama seperti Ibn Kathir berpendapat, penyakit salah satu daripada ujian Allah SWT yang sangat berat ke atas hamba-Nya. Tiada seorangpun manusia waras akan gembira dengan penyakit yang menimpa mereka.

Daripada Abu Sa’id Al Khudri dan Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW bersabda: “Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah SWT akan menghapus kesalahan-kesalahannya.” (Hadith riwayat al-Bukhari, No: 5641, Muslim, No: 2573, at-Tirmizi, No: 966, Ahmad, No: 7684, 8070, 10714)

Hakikatnya bila kita sakit, kita rasa ‘lonely’ bersendirian walaupun dikelilingi suami, ahli keluarga dan sahabat-sahabat yang sentiasa mendoa serta mengingatkan kita tentang hikmah sakit.

Kita berasakan yang orang tak akan faham perasaan kita, orang asik suruh sabar tetapi kita yang mengalami sakit berasakan diri ‘useless’, tidak berguna dan menyusahkan orang lain.

Saya sendiri mengalami sakit kaki kiri selama tiga minggu, setiap hari kebas, sakit daripada tapak kaki sampai ke paha, hampir tidak boleh tidur setiap malam.

Semua pergerakan menyakit dan memenatkan. Pelbagai ubatan diambil tetapi tiada yang betul- betul memberi kesembuhan.

Saya boleh dikatakan agak ‘depressed’ dengan keadaan ini sebab saya biasa bergerak, turun KL untuk bermesyuarat sehingga beberapa hari.

Jadi, boleh difahami kenapa saya selalu menangis, marah-marah dan mencari kesalahan sendiri serta dosa-dosa yang telah saya lakukan.

Saya sentiasa meratib sakit-sakitnya, tak tahan dan kadang-kadang berzikir juga bila ingat Allah. Kita hanya insan biasa yang sentiasa berdosa dan melakukan kesilapan.

Saya bukan menolak takdir Allah tetapi saya cuba nak ‘rationalise’ kenapa saya sakit. Alhamdulillah peringatan itu datang dalam pelbagai cara untuk saya tidak sentiasa murung dan bimbang bilalah akan sembuh penyakit saya ini. Keresahan ini bertambah dari hari ke hari dan macam tiada penghujungnya.

Pertama, suami saya sentiasa mendoakan, memberi kata-kata semangat dan menyedarkan saya tentang kebesaran Allah, hikmah Allah mendatangkan sakit dan cuba memberi rawatan terbaik buat saya. Terima kasih tidak terhingga kepada Encik Suami yang sama-sama berasakan kesakitan saya walaupun kadangkala tidak nampak macam dia peduli sangat.

Kedua, ibu saya yang sudah berumur 84 tahun selalu menelefon saya (lebih daripada saya menelefon dia sebenarnya dan saya minta ampun tentang itu) mendoakan saya setiap hari, setiap kali solat dan setiap kali telefon. Terima kasih mak untuk segala-galanya.

Alhamdulillah, anak-anak juga sentiasa mengalakkan saya untuk melakukan fisioterapi, mendoakan dan menemani saya semasa membuat rawatan di hospital, syukur pada Allah dikurniakan anak-anak dan menantu-menantu yang soleh, solehah dan memahami keadaan fizikal saya.

Juga kepada cucu-cucu yang sentiasa mendatangkan kegembiraan, menghapuskan keresahan dan memahami penyakit nenek mereka.

Ketiga, ikhwah dan akhwat, kawan-kawan serta kakitangan TV Pertiwi yang selalu mesej, menziarahi dan mendoakan dengan doa-doa yang murni dan menenangkan hati. Ingatilah akhwat, ziarah tu menenangkan, memberi semangat dan mengurangkan ‘depression’ serta tekanan yang dialami pesakit.

Boleh saya katakan keempat-empat perkara ini yang memberikan saya galakan untuk bangun setiap hari, meneruskan kehidupan ini dan tabah menghadapi dugaan-dugaan di samping ibadah-ibadah yang kita lakukan setiap hari.

Saya sebelum ini tidak pernah murung atau `depressed’ sebab saya selalu seboleh-bolehnya menolak kebimbangan (anxieties) yang timbul dan cuba mencari sisi yang positif di sebalik setiap ujian dan musibah.

Walaupun kadang-kadang ujian itu tiba dalam pelbagai bentuk tetapi saya selalu menepisnya dan berdoa kepada Allah agar sentiasa dikurniakan kebaikan dalam setiap dugaan.

Tetapi sakit kali ini memang menginsafkan, mengeluarkan perasaan-perasaan yang tidak pernah saya rasakan sebelum ini. Sakit yang tak tertahan, murung, tak boleh tidur, bergerak menggunakan tongkat, tak boleh keluar ke kedai, susah nak ke tandas serta hal-hal yang kita ‘take for granted’ setiap hari.

Tidak boleh saya bayangkan bagaimana keadaan pesakit- pesakit sama ada yang tua mahupun yang muda yang mengalami sakit yang kronik dan yang tiada harapan untuk hidup.

Begitu juga yang bertarung nyawa untuk hidup seperti yang dialami orang-orang yang ditimpa bencana seperti gempa bumi di Turkiye dan Syria sekarang.

Hati saya tersentuh saat melihat sekeping gambar seorang kakak yang masih kecil menyelamatkan adiknya dengan meletakkan tangannya di bawah runtuhan bangunan dan apabila dikeluarkan, masih mampu tersenyum lagi.

Subhanallah! Saya akan ambil ibrah atau pengajaran daripada anak kecil yang tersenyum ini.

Akhir kata, moga Allah permudahkan semua urusan duniawi dan ukhrawi kita dan moga kita semua dikurniakan kesihatan yang baik dan sembuh sebaiknya daripada segala kesakitan fizikal, mental dan rohani.

DR NORZILA BAHARIN / Pengerusi TV Pertiwi

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
1 comment
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts