- Dalam Surah al-Kahf yang kita baca pada hari jumaat ini, ada diceritakan bagaimana Allah memelihara anak kepada pasangan ibubapa yang soleh. Perkara ini diceritakan di dalam Surah al-Kahf. Firman Allah:
وَكَانَ أَبُوْهُمُا صَالِحاً
“Dan bapa mereka adalah orang yang soleh.” (Surah al-Kahf). Disebabkan ibubapa anak itu soleh, maka Allah memelihara harta dan anak tersebut dari di zalimi.
- Ketika menghuraikan ayat ini, al-Imam al-Qurtubi menjelaskan:
ففيه ما يدل على أن الله – تعالى – يحفظ الصالح في نفسه وفي ولده وإن بعدوا عنه
“Maka dalam ayat ini terdapat petunjuk yang menyatakan bahawa Allah memelihara seorang lelaki yang soleh itu dan anaknya juga sekalipun anak tersebut jauh darinya.”
- Begitu juga al-Imam Ibn Kathir melontarkan pandangan yang sama. Kata beliau:
فيه دليل على أن الرجل الصالح يحفظ في ذريته
“Ayat ini mengandungi pengajaran bahawa lelaki yang soleh, akan dipelihara zuriat mereka.”
- Atas kefahaman ini seorang Tabien bernama Said ibn Musayyib berkata kepada anaknya:
لأزيدنَّ في صلاتي مِنْ أجلِك ، رجاءَ أنْ أُحْفَظَ فيكَ
“Aku akan menambah (kualiti dan kuantiti) solatku dengan harapan supaya engkau dipelihara.”
- Ini bererti sekiranya kita inginkan supaya Allah membantu kita dalam menjaga anak kita, kita seharusnya menjadi ibubapa yang soleh dahulu. Nescaya Allah akan membantu memelihara anak kita.
Semoga Allah membimbing kita semua.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM