Hukum ‘ Buy now, pay later’

Soalan

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanya berkenaan hukum ‘buy now pay later’? Adakah ia dibenarkan dalam agama Islam? Mohon pencerahan Datuk Mufti. Terima kasih Datuk. 

Ringkasan Jawapan

Hukum ‘Buy Now Pay Later’ adalah harus dan sah selagi mana ia memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan syarak iaitu ia mestilah terbina atas akad jual beli dan bukannya akad pinjaman, tidak berlaku dua jual beli dalam satu akad, akad itu jelas dari sudut barangan, nilai harga dan tempoh penangguhan serta akad tersebut telah disepakati di awal pembelian.

Huraian Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.

Pada dasarnya, segala jenis dan bentuk muamalat adalah harus selagi mana tidak ada dalil syarak yang mengharamkannya. Hal ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا

Maksudnya: “Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

Surah al-Baqarah (275)

Ia juga berdasarkan kepada kaedah Fiqh:

الأصل في المعاملات الإباحة حتى يرد الدليل على خلافه

Maksudnya: “Asal segala sesuatu dalam bidang muamalat adalah harus, sehingga terdapat dalil yang menyanggahi dan mengharamkannya.”

Seiring dengan arus pemodenan, transaksi melibatkan harta benda mula diniagakan dalam pelbagai bentuk dan kaedah. Hal demikian termasuklah transaksi ‘buy now pay later (BNPL)’ atau nama lainnya ‘Beli Sekarang Bayar Kemudian’ yang kini menjadi salah satu medium transaksi jual beli moden.

Menurut perspektif syarak, bentuk jual beli BNPL boleh dilihat dalam aplikasi al-Bai‘ Bithaman Ajil (البيع بثمن آجل) yang membawa maksud proses menjual sesuatu dengan menyegerakan penyerahan sesuatu barangan namun ditangguhkan atau dilewatkan pembayarannya sehingga ke suatu tempoh waktu yang ditetapkan. 

Transaksi BNPL boleh terjadi sama ada melibatkan hanya dua belah pihak iaitu penjual dan pembeli ataupun melalui beberapa pihak dan berstruktur seperti mana proses pinjaman wang pelan ansuran yang melibatkan pengguna, pembiaya dan peniaga. Transaksi sebegini banyak ditemui dalam produk-produk perbankan Islam seperti pembiayaan pembelian aset, pembiayaan pembelian rumah, transaksi pembelian sukuk dan pelbagai lagi.

Namun, bahagian artikel ini hanya akan menumpukan secara asas akad BNPL yang terjadi antara pihak penjual dan pembeli. Oleh yang demikian, timbul persoalan mengenai keharusan memakai akad al-Bai‘ Bithaman Ajil pada transaksi jual beli. Dalam sebuah hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah R.A, beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اشْتَرَى طَعَامًا مِنْ يَهُودِيٍّ إِلَى أَجَلٍ، وَرَهَنَهُ دِرْعًا مِنْ حَدِيدٍ

Maksudnya: “Nabi SAW pernah membeli makanan daripada seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh, dan mencagarkan baju besi Baginda SAW.”

Riwayat al-Bukhari (2068)

Hadis ini menunjukkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah beramal dengan transaksi jual beli secara bertangguh. Oleh yang demikian, jual beli sebegini adalah harus dan boleh dipraktikkan dalam kehidupan seharian kita.Menyentuh berkenaan akad al-Bai‘ Bithaman Ajil ini juga, apabila diharuskan pembayaran sesuatu barangan ke suatu tempoh yang ditetapkan, maka bayaran itu boleh dilunaskan sama ada secara penuh (lump sum) atau secara ansuran, dan bila mana bayaran dibuat secara ansuran, secara tidak langsung ia turut berkait dengan akad al-Bai‘ bi al-Taqsit (البيع بالتقسيط) yakni jual beli secara ansuran. 

Seterusnya, apabila berbicara mengenai transaksi BNPL ini, lazimnya para pembeli diberikan pilihan sama ada untuk membayar secara tunai atau secara ansuran namun dengan harga yang lebih tinggi. Sebagai contoh, seseorang yang ingin membeli mesin basuh, ditawarkan dengan dua pilihan sama ada membayar RM1000 sekiranya dibeli secara tunai atau perlu membayar sebanyak RM1500 sekiranya ingin dibayar secara ansuran. Sehubungan dengan itu, timbul persoalan berhubung peningkatan harga apabila membeli sesuatu barangan secara ansuran, adakah ia termasuk dalam kategori riba?

Berkenaan hal ini, menurut pandangan empat mazhab iaitu Syafi‘i, Hanafi, Maliki dan juga Hanbali, kesemua mereka mengharuskan jual beli barangan dengan bayaran lebih kerana penangguhan waktu. Hal ini kerana pada hakikatnya perbezaan harga di sini merupakan ganti kepada tempoh waktu yang ditangguh tersebut dan juga kebarangkalian terdedahnya kepada risiko sewaktu tempoh penangguhan berjalan. Sehubungan dengan itu, perbezaan harga di sini dianggap halal namun ia mestilah dengan beberapa syarat iaitu.

  1. Hendaklah jual beli itu diketahui dari sudut barangan, nilai belian dan juga tempoh waktu.
  2. Tidak berlaku dua jual beli dalam satu waktu. Sebagai contoh, seseorang penjual katakan kepada pembeli: “Aku jual barangan ini dengan harga RM100 secara tunai atau RM200 secara tangguh, maka pilihlah jual beli yang mana anda mahu.” Jual beli sebegini adalah haram dan terbatal.
  3. Akad jual beli sudah disepakati di awal pembelian, bukannya di tengah ataupun di akhir pembelian. 

Riba pula berlaku bila mana salah satu pihak mengambil tambahan daripada bahagian barangan yang sama diberikannya kepada pihak satu lagi sebagai ganti kepada tempoh. Contohnya, satu pihak meminjamkan RM1000 dengan syarat dia akan menerima daripada pihak peminjam dengan RM1100 selepas sebulan. Ataupun penjual menjual 1000 gantang gandum dan dibayar dengan 1100 gantang gandum yang akan dibayar pada masa tersebut ataupun selepas tempoh tertentu. Oleh yang demikian, jelas di sini bahawa BNPL menjadi konvensional apabila terhasil riba daripadanya yakni keuntungan yang diperoleh melalui akad pinjaman dan bukannya akad jual beli. Maka, perkara ini yang membezakannya dengan BNPL Islamik.

Sebagaimana maklum, bahawasanya transaksi BNPL ini sememangnya mempunyai kelebihan yang tersendiri bila mana penjual boleh memperoleh keuntungan yang lebih apabila pembeli memilih untuk membayar secara ansuran. Manakala pembeli pula dapat memiliki sesuatu aset dengan segera walaupun belum menjelaskan seluruh harga aset tersebut. Begitu juga BNPL ini juga secara tidak langsung merupakan satu bentuk toleransi dan kemudahan yang disediakan oleh penjual buat para pembeli, malah transaksi sebegini banyak dipraktikkan oleh sekalian umat Islam.

Kesimpulannya, hukum Buy Now Pay Later adalah harus dan sah selagi mana ia memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan syarak iaitu ia mestilah terbina atas akad jual beli dan bukannya akad pinjaman, tidak berlaku dua jual beli dalam satu akad, akad itu jelas dari sudut barangan, nilai harga dan tempoh penangguhan serta akad tersebut telah disepakati di awal pembelian. Wallahu A‘lam.

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts