Masyarakat kita banyak kenal Sunnah Nabi pada makanan, minuman, pakaian.
Sebenarnya Sunnah Nabi yang paling utama dan paling besar pahala untuk diikuti bukan tiga perkara itu.
Urutan Sunnah Nabi yang paling utama untuk diikuti ialah seperti berikut:
1) Menyampaikan ajaran Islam, mengenai kehendak Allah Taala ke atas manusia, merangkumi soal akidah, akhlak dan tingkah laku zahir, sebagaimana yang dilakukan oleh para mufti, para ulama yang memahamkan umat tentang agama mereka.
2) Menjadi hakim yang menjatuhkan hukuman yang adil berdasarkan Quran, Sunnah dan Ijma’. Jika tidak rasmi pun, menjadi rujukan masyarakat untuk mendapatkan nasihat dan pandangan terhadap satu-satu pertikaian sesama ahli masyarakat.
3) Memimpin, dari peringkat sekecil-kecil kepimpinan iaitu memimpin keluarga, kepada sebesar-besarnya iaitu memimpin negara antarabangsa.
4) Berdakwah dan melakukan amar makruf nahi mungkar, dalam pelbagai cara yang dibenarkan syarak, mengenai sekecil-kecil urusan dan tingkah laku manusia, sehingga sebesar-besarnya.
5) Berjihad dalam melakukan keempat-empat fungsi di atas serta berusaha agar Islam dilaksanakan sesempurna mungkin di atas muka bumi ini, serta membanteras sebarang kuasa yang menghalang pelaksanaan Islam tersebut.
6) Sunnahnya dalam beribadat khusus; mengenai ibadat apa dan bagaimana.
7) Sunnahnya dalam berkeluarga dan kaum kerabat; sebagai suami, bapa dan sebagainya.
8 ) Sunnahnya dalam bermasyarakat; berjual beli, berjiran dan sebagainya.
9) Sunnahnya berpakaian, makan minum, penginapan, berubat dan sebagainya.
No 1 hingga 6 ialah mengenai Sunnah Baginda selaku Nabi dan Rasul, manakala no 7 hingga 9 ialah mengenai Sunnah Baginda selaku manusia biasa.
Semoga kita diberi taufiq Allah untuk beramal dengan sebaik-baik amal dan dibalas dengan sebaik-baik ganjaran. Amin.
Mohd Hazizi Ab Rahman
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM