Adakah wajib menyimpan duit untuk mengerjakan haji?

Soalan:

Kaedah Islam menetapkan bahawa “apabila suatu perkara yang wajib itu tidak sempurna melainkan dengan suatu perkara lain, maka perkara lain itu menjadi wajib.” Disebabkan kewajipan haji tidak dapat disempurnakan melainkan dengan simpanan wang yang mencukupi, maka adakah menyimpan wang itu menjadi wajib? Mohon pencerahan.

Ringkasan Jawapan

Mempunyai simpanan yang mencukupi untuk mengerjakan haji termasuk di bawah kategori berkemampuan (istita’ah) yang menjadi syarat untuk diwajibkan haji ke atas seseorang. Maka apabila seseorang itu mempunyai syarat berkemampuan, ini disertai dengan syarat-syarat yang lain (Muslim, baligh, berakal dan lain-lain), maka dia wajib melaksanakan ibadah haji. Namun para ulama menjelaskan bahawa hukum menyimpan wang untuk mengerjakan haji itu sendiri tidak wajib, kerana ia termasuk dalam kaedah “satu perkara yang tidak sempurna suatu hukum kewajipan melainkan dengannya, perkara itu tidak wajib.” Namun menyimpan duit dengan niat mengerjakan haji itu amat digalakkan kerana ia termasuk dalam anjuran bersegera dan bersungguh-sungguh dalam menunaikan tuntutan syarak.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Mengerjakan haji itu merupakan satu kewajipan ke atas mukalaf yang ada kemampuan (istita’ah), berdasarkan firman Allah SWT:

وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا ۚ

Maksudnya: Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu bagi sesiapa yang mampu sampai kepadanya.

Surah Ali ‘Imran (97)

Justeru, kemampuan itu menjadi syarat yang perlu dipenuhi sebelum seseorang itu diwajibkan haji ke atasnya, iaitu apabila dia memiliki harta yang mencukupi, yang merangkumi perbelanjaan pergi dan balik, bayaran visa pasport perjalanan dan upah pemandu haji dan umrah sebagaimana yang dikehendaki pemerintah. Kesemua harta itu juga mestilah lebihan daripada jumlah hutang dan perbelanjaan ahli keluarganya dalam tempoh ketiadaannya.

Dalam hal ini timbul persoalan: Oleh kerana kemampuan kewangan itu merupakan syarat wajib haji, dan kaedah syarak menetapkan bahawa satu perkara yang tidak sempurna suatu urusan wajib melainkan dengannya, maka perkara itu menjadi wajib.

Maka adakah ini bermaksud menyimpan duit untuk mengerjakan haji itu menjadi wajib, kerana haji tidak dapat disempurnakan melainkan jika ada kemampuan kewangan?

Pertama sekali, perlu dibezakan antara dua kaedah yang kelihatannya sama, tapi memberi maksud yang berbeza:

PertamaSempurna hukum kewajipan

مَا لا يَتِمُّ الْوُجُوبُ إلاَّ بِهِ فهُوَ لَيْسَ بِوَاجِبٍ

Maksudnya: Satu perkara yang tidak sempurna sesuatu hukum kewajipan melainkan dengannya, perkara itu tidak wajib.

Aplikasi kaedah: Hukum kewajipan mengeluarkan zakat akan hanya dikenakan terhadap harta yang telah cukup haul dan nisab. Namun pemilik harta itu tidak wajib untuk berusaha dalam memastikan harta itu cukup haul dan nisab.

Kedua: Sempurna pelaksanaan perkara yang wajib

مَا لا يَتِمُّ الوَاجِبُ إلاَّ بِهِ فهُوَ واجِبٌ

Maksudnya: Suatu amalan wajib yang tidak sempurna melainkan dengan suatu perkara lain, maka perkara lain itu menjadi wajib.

Aplikasi kaedah: Solat fardu lima waktu merupakan satu amalan wajib, dan ia tidak boleh dilaksanakan melainkan dengan berwuduk terlebih dahulu, maka wuduk itu juga menjadi wajib.

Dalam isu menyimpan wang untuk mengerjakan haji, para ulama usul fiqh telah membahaskannya dengan tuntas. Ibn al-Najjar menghuraikan:

وَمَا لا يَتِمُّ الْوُجُوبُ إلاَّ بِهِ (سَوَاءٌ قَدَرَ عَلَيْهِ الْمُكَلَّفُ، كَاكْتِسَابِ الْمَالِ لِلْحَجِّ وَالْكَفَّارَاتِ وَنَحْوِهِمَا، أَوْ لَمْ يَقْدِرْ عَلَيْهِ الْمُكَلَّفُ، كَحُضُورِ الإِمَامِ الْجُمُعَةَ وَحُضُورِ الْعَدَدِ الْمُشْتَرِطِ فِيهَا، لأَنَّهُ مِنْ صُنْعِ غَيْرِهِ، فَإِنَّهُ) لَيْسَ بِوَاجِبٍ مُطْلَقًا وَحُكِيَ إجْمَاعًا

Maksudnya: Adapun suatu kewajipan yang tidak sempurna melainkan dengannya, sama ada yang mampu dicapai oleh seorang mukalaf, contohnya mendapatkan wang untuk mengerjakan haji, membayar kaffarah dan seumpamanya, atau yang berada di luar kemampuan seseorang, contohnya hadirnya imam untuk solat Jumaat dan cukup kehadiran bilangan jemaah untuk solat Jumaat kerana ia perbuatan yang dilakukan oleh orang lain, maka kesemua perkara tersebut hukumnya tidak wajib secara mutlak, dan telah dinukilkan ijmak ulama padanya.

Ini bermaksud, seseorang itu wajib melaksanakan haji hanya apabila syarat istita’ah itu wujud padanya, namun dia sendiri tidak wajib berusaha untuk memastikan dia mencapai status istita’ah itu.

Sementara Syeikh Muhammad al-Amin al-Syinqiti pula menambah bahawa meskipun mengumpul harta yang cukup untuk mengerjakan haji itu kebiasaannya mampu dicapai oleh mukalaf, namun ia tetap tidak diwajibkan. Hal tersebut sama dengan mencukupkan nisab harta yang diwajibkan zakat atau berada dalam keadaan mukim untuk diwajibkan berpuasa, di mana kesemua perkara ini tidak diwajibkan untuk kita mendapatkannya.

Imam al-Ru’aini al-Maliki pula menyatakan:

إذَا كَانَ الشَّخْصُ لَهُ صَنْعَةٌ يُمْكِنُهُ أَنْ يَحْصُلَ مِنْهَا مَا يَصِيرُ بِهِ بَعْدَ مُدَّةٍ مُسْتَطِيعًا بِأَنْ يَجْمَعَ مِنْهَا كُلَّ يَوْمٍ مَا يَفْضُلُ عَنْ قُوتِهِ وَحَاجَتِهِ فَلَا يَجِبُ عَلَيْهِ ذَلِكَ وَلَهُ أَنْ يَتَصَدَّقَ بِمَا يَفْضُلُ عَنْ قُوتِهِ وَحَاجَتِهِ

Maksudnya: Jika seseorang itu mempunyai pekerjaan yang membolehkannya mendapat hasil pendapatan yang akan menjadikannnya mampu mencapai syarat istita’ah setelah suatu tempoh, iaitu dengan dia mengumpul lebihan daripada perbelanjaan makanan dan keperluan hariannya, dia tetap tidak wajib untuk melakukan yang demikian (mengumpul harta), dan dia boleh bersedekah daripada lebihan keperluannya itu. 

Maka, meskipun seseorang itu mampu berusaha untuk mencukupkan simpanan bagi menunaikan haji melalui pekerjaan, perniagaan atau seumpamanya, Islam tidak mewajibkan untuknya berbuat demikian, dan diharuskan baginya untuk membelanjakan wang tersebut untuk tujuan lain.

Kesimpulan

Kesimpulannya, kemampuan kewangan itu merupakan salah satu syarat untuk diwajibkan kewajipan haji ke atas seseorang. Namun para ulama menjelaskan bahawa hukum menyimpan wang untuk mengerjakan haji itu sendiri tidak wajib, kerana ia termasuk dalam kaedah “satu perkara yang tidak sempurna suatu hukum kewajipan melainkan dengannya, perkara itu tidak wajib.” Namun menyimpan duit dengan niat mengerjakan haji itu amat digalakkan kerana ia termasuk dalam anjuran bersegera dan bersungguh-sungguh dalam menunaikan tuntutan syarak. Apatah lagi dengan kewujudan Lembaga Tabung Haji di negara kita yang telah banyak mempermudahkan urusan jemaah haji untuk menyimpan dan menguruskan perjalanan ke tanah suci.

Wallahu a’lam.

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts