Menjauhi LGBT adalah sifat takwa

  1. Ada yang bertanyakan kepada saya mengenai komentar seseorang berhubung teks khutbah yang dikeluarkan oleh pihak JAIS. Saya menyokong penuh teks khutbah yang dikeluarkan oleh pihak JAIS berjudul “LGBT Tabiat Songsang.”
  2. Amat menghairankan sekiranya seseorang itu mencadangkan agar khutbah jumaat hanya menekankan aspek takwa sahaja dan memisahkan isu LGBT. Ini kerana, salah satu sifat takwa adalah menjauhi perkara yang dicegah oleh Allah termasuklah elemen yang berkaitan LGBT
  3. Menurut Ibn Habib, takwa itu adalah menjauhi perkara maksiat. Kata beliau:

والتقوى ترك معاصي الله على نورٍ من الله مخافةَ عذاب الله

“Dan takwa itu adalah meninggalkan perkara maksiat kepada Allah, berteraskan cahaya dari Allah kerana takutkan azab dari Allah.” (Musannaf Ibn Abi Syaibah – athar ini dinilai Sahih)

  1. Begitu juga dengan al-Raghib al-Asfahani yang merangkumkan sebahagian daripada aspek takwa ialah dengan menjauhi maksiat. Kata beliau:

وأن يقي نفسه من الوقوع بالمعاصي، وشُبهات الدنيا

“Dan (takwa itu ialah) hendaklah seseorang itu melindungi dirinya dari terjebak dalam maksiat dan segala perkara yang meragukan dari perihal dunia.” (Tafsir al-Raghib al-Asfahani)

  1. Dan salah satu rangkaian maksiat yang mesti dijauhi seperti yang dijelaskan dalam al-Quran ialah menghindari perbuatan terkutuk LGBT. Dalam al-Quran, Allah menyifatkan perbuatan LGBT ini sebagai keji dan melampau batas. Firman Allah:

وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ مَا سَبَقَكُمْ بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِنَ الْعَالَمِينَ (80) إِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ شَهْوَةً مِنْ دُونِ النِّسَاءِ بَلْ أَنْتُمْ قَوْمٌ مُسْرِفُونَ

“Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu? “Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.” (Surah al-A’raf)

  1. Malah dalam hadis pula, Rasulullah ﷺ turut melaknat golongan ini di dalam sabda Baginda:

لَعَنَ اللَّهُ مَنْ عَمِلَ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ

“Allah melaknat mereka yang melakukan perbuatan kaum Lut.” (HR Ahmad)

  1. Oleh yang demikian, jelas di sini bahawa salah satu sifat takwa itu adalah menjauhi perbuatan LGBT. Tiada salahnya khutbah yang dirangka oleh pihak JAIS itu kerana ia telah pun merangkumi aspek takwa.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts