Terdapat banyak dalil yang menunjukkan kelebihan menjamu mereka yang berpuasa. Justeru, amat wajar bagi yang berkelapangan rezeki serta harta menjamu mereka yang berpuasa. Antara nas galakannya ialah:
Daripada Zaid bin Khalid, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
مَن فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثلُ أَجْرِهِ، غَيْرَ أَنَّهُ لَا يَنْقُصُ مِن أَجْرِ الصَّائِمِ شَيئًا
Maksudnya: “Siapa yang member makan orang yang berpuasa maka baginya pahala seumpamanya tanpa sedikitpun kurang pahala orang berpuasa.”
(Riwayat Ahmad, al-Tarmizi dan al-Baihaqi)
Daripada Ummu Ammarah, Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ الصَّائِمِ إِذَا أَكَلَ عِندَهُ لمَ تَزَل تُصَلِّي عَلَيهِ المَلائِكَةُ حَتََى يَفْرُغَ مِن طَعَامِهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang berpuasa apabila makan bersamanya orang berpuasa yang lain, maka sentiasalah para malaikat mengucap selawat ke atasnya sehingga selesai daripada makannya.”
(Riwayat Ahmad, al-Tarmizi dan al-Baihaqi)
Rasulullah SAW bersabda:
الصَّائِمُ إِذَا أَكَلَتْ عِنْدَهُ المُفَاطِرُ صَلَّتْ عَلَيْهِ الملائِكَةُ
Maksudnya: “Orang yang berpuasa apabila makan di sisinya orang-orang yang berbuka puasa, nescaya para malaikat berselawat ke atasnya.”
(Riwayat al-Tarmizi dan Ibn Majah)
Berdasarkan nas hadis di atas jelas menunjukkan kelebihan bagi mereka yang member makan orang yang berpuasa, apatah lagi mereka yang amat memerlukan seperti anak-anak yatim, fakir miskin dan golongan yang berhajat.
Dinyatakan di sini sikap dan sifat tokoh ulama dalam member makan orang yang berpuasa:
- Hasan al-Basri member makan saudaranya sedangkan dia berpuasa sunat dan duduk melayan mereka ketika mereka makan.
- Abdullah bin al-Mubarak memberi makan kepada saudaranya ketika bermusafir dengan makanan yang lazat, sedangkan dia berpuasa.
- Hammad menjamu setiap malam kepada orang ramai pada bulan puasa seramai 500 orang.
- Abdullah bin Umar R.Anhuma berpuasa dan tidak berbuka kecuali bersama dengan fakir miskin.
Semoga kita sentiasa menjadi hamba Allah yang suka menjamu mereka yang berpuasa.
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM