- Dalam berpuasa ini, barangkali ada kawan yang mencetuskan sesuatu yang boleh menyebabkan kita ingin membalasnya dengan kata-kata yang tidak elok. Tahanlah diri dan ucapkanlah: “Aku berpuasa.”
- Ini kerana puasa adalah proses tarbiah, mendidik jiwa kita dari terjerumus dalam melakukan perkara yang tidak baik. Latih diri untuk melakukan sedemikian kerana ia adalah sunnah.
- Perkara ini tidak terhad kepada ucapan yang terpacul dari mulut sahaja malah dari tulisan jari-jemari kita juga. Tahan diri kita dari menulis komen yang tidak baik dalam Facebook, WhatsApp, twitter dan sebagainya. Kerana luahan jari-jemari kita juga adalah lahir dari jiwa yang sedang berpuasa tersebut.
- Malah luahan dari jari-jemari ini lebih membimbangkan. Ia terkadang lebih laju dari apa yang terpacul dari mulut sekaligus memberi indikator tentang hati dan jiwa seseorang.
- Ingatlah bahawa Allah tidak melihat kepada amalan puasa kita andai ia gagal mendidik diri dari perkataan yang tidak baik. Sabda Rasulullah:
مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِى أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ
“Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan beramal dengannya (pendustaan dan pembohongan), maka Allah tidak memerlukan ke atas perbuatannya yang meninggalkan makan dan juga minum.” (HR al-Bukhari)
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM