Adakah batal puasa mengunyah gula-gula getah?

Assalammualaikum. Kebiasaannya, gula getah hanya di kunyah dan tidak di telan, jadi ianya tidak sampai masuk ke dalam kawasan tekak. Persoalannya batalkah puasa? Mohon pencerahan SS Mufti.

Ringkasan Jawapan:

Pada asasnya hukum mengunyah gula – gula getah ketika puasa di sisi mazhab Syafi’i adalah makruh kerana dikhuatiri tertelan sehingga melepasi had yang boleh membatalkan. Walau bagaimanapun pada kebiasaannya   sesiapa yang mengunyah gula-gula getah pasti akan menelan bersamanya air liur yang bercampur perisa gula-gula getah berkenaan yang akan membatalkan puasanya. Oleh yang demikian, tiada keperluan bagi orang yang berpuasa untuk mengunyah gula-gula getah.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Bahagian Had Rongga Mulut

Rongga mulut mempunyai had tertentu yang boleh menyebabkan batal puasa, Fuqaha menentukan piawaian had zahir dan had batin rongga mulut seperti berikut:

Had Zahir: Had zahir dalam mulut ialah makhraj ha’ al-muhmalah (ح) dan kha’ al-mu’jamah (خ)

Had Batin: Had batin dalam mulut ialah  makhraj ha(ه)dan hamzah(ء).Had batin ini membatalkan puasa. 

Berdasarkan penentuan had rongga mulut di atas, jelas menunjukkan bahawa kawasan dalam   mulut yang mengunyah makanan merupakan had zahir yang mana ia tidak membatalkan puasa sekiranya sesuatu ain (jirim) masuk ke  kawasan mulut tersebut. Apabila sampai sesuatu ain (jirim) ke dalam tekak pada had batin mahupun melepasi had zahir, maka ia membatalkan puasa.

Selain itu, fuqaha mazhab Syafi’i telah membahaskan hukum mengunyah gula-gula getah tidak membatalkan puasa, namun perbuatan tersebut adalah makruh :

قَالَ الشَّافِعِيُّ وَالْأَصْحَابُ يُكْرَهُ لِلصَّائِمِ الْعِلْكُ لِأَنَّهُ يجمع الريق ويورث العطش والقئ

“Imam al-Syafi’i dan para ulama mazhab Syafi’i berpandangan bahawa mengunyah gula – gula getah adalah makruh bagi orang yang berpuasa kerana ia mengumpul air liur, menimbulkan rasa dahaga dan muntah.

Selain itu, ulama al-Zuhaili dalam kitab Mu’tamad menyatakan makruh bagi orang yang berpuasa mengunyah gula-gula getah kerana dikhuatiri tertelan  sampai ke rongga perut. Batal puasa bagi mereka yang menelan gula-gula getah.

Oleh yang demikian, Imam al-Syafi’i menyatakan hukum mengunyah gula-gula getah adalah makruh.  Walau bagaimanapun pada kebiasaanya sesiapa yang mengunyah gula-gula getah pasti akan menelan bersamanya air liur yang bercampur perisa gula-gula getah berkenaan yang akan membatalkan puasanya.

WallahuA’lam.- Muftiwp

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts