- Dalam surah al-Baqarah, Allah mengingatkan kita bahawa tujuan difardukan berpuasa supaya manusia itu mencapai kedudukan taqwa. Firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.
- Setelah masuk fasa kedua daripada Ramadan ini, bagaimana pencapaian puasa kita? Apakah kita telah mula menghampiri sifat taqwa? Dalam perkara ini Umar Abdul Aziz mengingatkan kita tentang definisi taqwa. Kata beliau:
ليس تقوى الله بصيام النهار، ولا بقيام الليل، والتخليطِ فيما بَيْنَ ذلك، ولكن تقوى اللهِ تركُ ما حرَّم الله، وأداءُ ما افترضَ الله
“Takwa itu bukan sekadar puasa disiang hari dan mendirikian qiamullail atau menggabungkan kedua amalan tersebut, tetapi taqwa itu adalah meninggalkan perkara yang diharamkan oleh Allah dan menunaikan perkara yang difardukan.”
- Jelas disini bahawa asas kepada taqwa adalah meninggalkan perkara yang haram dan melakukan perkara yang diwajibkan. Bererti tidak guna kita berpuasa sekiranya kita masih tidak solat. Malah rugilah puasa kita sekiranya kita masih lagi merokok.
- al-Imam Ibn al-Qayyim pula menjelaskan bahawa taqwa itu mempunyai tiga peringkat. Kata beliau:
التقوى ثلاثُ مَرَاتب: حِمْيَةُ القلب والجوارح عَنِ الآثام والمحرمات، ثم الحمية عن المكروهات، ثم الحمية عن الفُضُول وما لا يعني
“Taqwa itu ada tiga peringkat: (Pertama) memelihara hati dan anggota badan dari segala dosa dan perkara yang diharamkan. (Kedua) menjaga diri kita dari segala perkara yang makruh (perkara yang tidak mencapai haram tetapi tidak disukai Allah). (dan yang ketiga) meninggalkan perkara yang berlebihan dan apa-apa yang tidak bermanfaat buat diri kita.
- Sehingga kini, dimanakah level taqwa yang telah kita hampiri. Apakah kita telah meninggalkan segala perkara yang dilarang oleh Allah? Atau apakah kita telah berjaya menjauhkan diri kita dari perkara yang sia-sia?
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM