Budaya bermaafan mesti dijadikan amalan setiap hari

‘Berlalulah sudah Ramadan, sebulan berpuasa. Tiba Syawal kita rayakan, dengan rasa gembira.’ Bait lirik lagu Suasana Hari Raya dendangan Anuar Zain dan Ellina menggambarkan kemenangan umat Islam menyambut Aidilfitri setelah sebulan menjalani ibadah puasa.

Aidilfitri ialah perayaan besar dianugerahkan kepada umat Nabi Muhammad SAW. Aidilfitri juga bermaksud kita kembali semula kepada fitrah, dalam keadaan bersih daripada segala dosa dan noda.

Sekiranya segala ibrah madrasah Ramadan dihuni selama sebulan dihayati sebaiknya, seseorang ‘pelajar’ akan bergraduan dengan jayanya dan membawa bersama nilai pengajaran dipelajari ketika berada di madrasah berkenaan, berterusan dan istiqamah sepanjang hidupnya.

Nilai murni seperti sifat berjimat cermat sangat dituntut dalam Islam. Saban tahun termasuk Ramadan lalu, kita pasti mendengar atau membaca berita pembaziran makanan di bazar Ramadan. Ia berlaku apabila peniaga menyediakan makanan berlebihan untuk mendapatkan keuntungan berlipat kali ganda. Hakikatnya, tidak ramai pengunjung membeli, maka makanan terpaksa dibuang.

Satu laporan disiarkan BH pada 10 April lalu memetik kenyataan Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menyatakan jumlah kutipan sisa pepejal ketika Ramadan 2022 mencatatkan 252,521 tan berbanding 208,143 tan pada 2019, sekali gus menyaksikan peningkatan setiap tahun dan meningkat 21 peratus dalam tempoh lima tahun ini.

Trend ini jika tidak dibendung bukan sahaja mengakibatkan isu pembaziran, malah isu kos pengurusan mengurus pembuangan sisa makanan juga akan meningkat.

Sepatutnya, Ramadan lebih mengajar kita bersederhana dan tidak berlebih-lebihan dalam segala segi. Yang patut diperbanyakkan pelajar madrasah Ramadan ialah amalan sunat seperti solat, sedekah dan membaca al-Quran.

Apabila graduan madrasah Ramadan keluar daripada ‘institusi’ berkenaan, antara amalan lazim dilakukan ialah saling menziarahi ibu bapa, kaum keluarga, sanak saudara, sahabat handai, kenalan dan mereka sudah tiada di alam nyata.

Pada hari raya, umat Islam digalakkan menyambung silaturahim dengan amalan ziarah. Difahamkan, ziarah-menziarahi ini amalan dilakukan Sayidina Abu Bakar RA ke rumah Nabi Muhammad SAW.

Adat atau amalan baik ini perlu diteruskan pada bulan lain juga kerana Islam amat menganjurkan untuk mengeratkan hubungan silaturahim seperti hadis riwayat Imam Bukhari: “Siapa suka untuk diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menyambung silaturahim.”

Ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 dan 2021 akibat wabak COVID-19, kita tidak dapat pulang ke kampung bukan sahaja pada hari raya, malah pada hari biasa dan hujung minggu juga.

Imarahkan tradisi saling bermaafan

Usai PKP, kelonggaran diberikan kerajaan untuk bertemu semula secara fizikal digunakan sepenuhnya bagi melepaskan rindu. Bukan saja pada hari raya, tetapi hari bukan perayaan juga dimanfaatkan sebaiknya untuk bertemu insan tersayang.

Ada berpeluang bertemu semula, namun ada yang tidak berkesempatan untuk bertaut semula kerana kehilangan insan tersayang dek penularan wabak global meragut jutaan nyawa. Barulah kita terasa berjumpa dengan manusia secara berdepan itu nikmat dipandang enteng pada zaman media sosial hari ini.

Amalan lain menjadi kelaziman juga ialah bermaaf-maafan pada pagi raya. Bagi masyarakat Jawa, mereka mempunyai satu tradisi bermaafan unik disebut sebagai sungkeman.

Ia berasal daripada perkataan sungkem bermaksud bersimpuh atau duduk berjongok sambal mencium tangan. Tradisi turun-temurun dilakukan pada hari istimewa seperti hari raya, hari perpisahan dan menunaikan haji ini suatu bentuk penghormatan orang muda kepada orang lebih tua atau anak kepada ibu bapanya.

Suasana kebiasaan di rumah orang Melayu pada pagi raya usai solat sunat Aidilfitri ialah berkumpul dan mengambil giliran untuk saling bermaafan.

Mengambil pengajaran daripada madrasah Ramadan, budaya bermaafan ini bukan sahaja dilakukan pada pagi raya, namun sebenarnya perlu diterapkan setiap hari. Adalah lebih baik jika seseorang mempunyai sikap memaafkan dahulu berbanding meminta maaf.

Perkara ini juga dianjurkan Nabi Muhammad SAW dan sesiapa memaafkan kesalahan orang lain sebelum tidur akan mendapat sunahnya.

Amalan popular ditunggu-tunggu hanya terdapat ketika Ramadan ialah solat sunat Tarawih. Kebanyakan kita akan pergi ke masjid atau surau untuk menunaikan solat sunat berkenaan selesai solat Isyak secara berjemaah.

Di sesetengah masjid juga, terdapat program qiamullail bagi menghidupkan 10 malam terakhir. Sepanjang sebulan solat sunat Tarawih, terdapat juga pihak mengambil inisiatif untuk ke masjid atau surau berlainan setiap malam bagi merasai pengalaman berbeza di setiap tempat.

Solat berjemaah amat dituntut dalam Islam.

Pahala jemaahnya juga digandakan menjadi 27 berbanding solat secara biasa. Ketika PKP, sesama ahli keluarga berjemaah di rumah kerana masjid tidak dibuka kepada orang awam.

Amalan solat secara berjemaah ternyata mengeratkan hubungan silaturahim sesama keluarga di rumah dan sesama jiran tetangga di masjid.

Amalan baik mampu memupuk semangat kekitaan antara kita seharusnya diteruskan pada bulan lain. Dalam kesibukan berulang-alik ke tempat kerja saban hari dan kurangnya masa beramah mesra atau berkasih sayang sesama keluarga dan masyarakat setempat, amalan berjemaah berupaya menyuburkan sifat rahmah dan mawaddah berkenaan.

Sifat bernafsi-nafsi pada zaman moden ini haruslah dielakkan kerana fitrah manusia itu sendiri memerlukan kepada kehidupan bermasyarakat membentuk peradaban.

Kita tidak mungkin mampu hidup berseorangan kerana memerlukan struktur sosial menyeluruh dari aspek ekonomi, perubatan, pendidikan, rohani, jasmani dan pelbagai lagi.

Bagi menjadi graduan madrasah Ramadan paling cemerlang dan selayaknya dinobatkan sebagai ‘pelajar terbaik’, segala amalan ketika menuntut di ‘institusi’ berkenaan perlu diteruskan hingga bertemu dengan sesi akan datang pula.

Keazaman dan iltizam untuk sentiasa mahu memperbaiki diri walaupun sedikit adalah lebih baik dan terpuji berbanding melakukan transformasi besar-besaran secara mendadak tetapi ditinggalkan begitu sahaja sebaik melangkah keluar dari madrasah Ramadan.

Lalu kita perlu tepuk dada dan bertanya kepada diri sendiri: “Apakah sekurang-kurangnya satu perkara dipelajari dan ingin diamalkan secara istiqamah pada bulan selepas Ramadan?”

Penulis adalah Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts