SHAH ALAM – Ibu bapa berharap pelaksanaan kurikulum dan modul penghayatan Islam yang dinaik taraf dengan komponen hafazan al-Quran dalam silibus pendidikan tabika Kemas dapat memberi sinar baharu terhadap sistem pembelajaran anak-anak.
Menurut Muhamad Firdaus Mohamad Johar, 38, langkah itu dilihat mampu membantu mempertingkat pendedahan awal kepada kanak terhadap pembelajaran agama.
“Untuk peringkat begini, mereka boleh diajar menghafal surah-surah lazim dalam Juz Amma seperti Surah Ad-Dhuha, Asy-Syams dan Al-Alaq. Bolehlah mereka baca sewaktu solat lima waktu.
“Sepatutnya perkara ini sudah lama dilaksanakan. Apa-apa pun saya kira ia sangat bagus, sebab lagi awal anak-anak dapat pendidikan agama, mereka jadi lebih bersedia untuk dapatkan input lebih mendalam pada masa yang seterusnya.
“Macam kita tahu, sekarang ini banyak anasir tidak baik meresapi ke dalam masyarakat, eloklah kita tambah baik apa yang ada,” kata ayah kepada tiga orang anak itu.
Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Dewan Rakyat bahawa silibus tadika Kemas akan ditambah baik dengan pengisian rohani dan sahsiah diri.
Ujar beliau, silibus itu akan disertakan dengan hafazan al-Quran dengan mengekalkan aspek ketatanegaraan serta tiga kemahiran asas utama-membaca, menulis, dan mengira (3M).
Dalam pada itu, suri rumah, Puteri Nurfarhah Mohd Zain, 24, menyokong penuh inisiatif tersebut kerana ia secara tidak langsung membantu mewujudkan lebih banyak platform pendidikan agama bagi perkembangan awal kanak-kanak.
Namun, dia yang merupakan graduan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu berharap, input pendidikan itu sentiasa diperkasa dan diperbaharui bagi mengimbangi cabaran semasa yang melanda umat Islam.
“Kena perkasakan subjek lain juga seperti Aqidah, Fiqh dan Sirah supaya anak-anak lebih faham tentang agama ini dengan lebih baik
“Apa- apa pun silibus hafazan Al-Quran ini kalau diterapkan lebih awal amat bagus, anak-anak pun dalam peringkat umur macam ini senang nak terima apa-apa input,” kata ibu kepada seorang anak itu.
Muhammad Khairuddin Zainal, 26, melihat naik taraf silibus itu sedikit sebanyak mengimbangi pendidikan akademik kanak-kanak.
“Baguslah bila kita dapat tengok anak-anak bukan setakat belajar abjad A, B dan C tetapi sudah ada penerapan al-Quran yang merupakan wahyu bagi umat Islam dalam diri masing-masing,
“Tetapi jangan lupa, bukan sekadar hafazan dan pembacaan sahaja kita mahu terapkan, tetapi juga pemahamannya supaya dapat melahirkan insan yang bertakwa suatu masa nanti,” katanya.
Sementara itu, Saharuddin Ahmad, 38, berpandangan, usaha itu secara tidak langsung dapat menarik perhatian mereka untuk menghantar anak-anak ke Tabika Kemas.
“Kalau dulu kita lihat, ibu bapa lebih memilih tadika swasta lain seperti Pasti berbanding bagi pendidikan awal kerana mereka mahukan anak-anak mendapat input agama yang secukupnya.
“Sekarang, saya kira pandangan itu bakal berubah kerana Tabika Kemas pun ada pendidikan macam itu di samping yurannya yang murah, ilmu pun cukup,” katanya yang menetap di Temerloh, Pahang.
Muhammad Irham Md Noor, 29, yakin usaha yang dibawa dapat menjadikan penghayatan dan sahsiah rakyat Malaysia lebih tinggi.
“Perkara ini pasti akan menghasilkan produk modal insan yang terbaik dalam negara ini. Justeru, saya menyokong penuh usaha pihak kerajaan dalam melaksanakan kurikulum dan modul penghayatan islam di Tadika Kemas seluruh Malaysia,” ujarnya yang merupakan seorang guru. – Sinar Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM