Guna logo halal palsu, rumah sembelihan ayam diarah tutup 14 hari

BAYAN LEPAS: Sebuah rumah penyembelihan ayam di Kampung Matahari Naik, dekat Teluk Kumbar di sini, dikesan menggunakan logo halal meragukan.

Lebih mendukacitakan, pemilik rumah penyembelihan berkenaan terdiri bukan Islam dan dia juga menggajikan pekerja bukan warganegara bagi menjalankan kerja penyembelihan ayam.

Semua itu terbongkar selepas premis terbabit diserbu melalui operasi bersepadu membabitkan pelbagai agensi kira-kira jam 9.20 malam tadi, susulan aduan diterima daripada orang ramai.

Antara agensi terbabit adalah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz, ketika mengulas kegiatan itu berkata siasatan dilakukan pihak berkuasa mendapati hasil sembelihan di premis itu dihantar ke Pasar Awam Tanjung Bungah dengan menggunakan logo halal.

“Perbuatan pemilik premis itu jelas mengelirukan masyarakat khususnya pembeli beragama Islam dan beberapa agensi berkaitan sudah mengadakan siasatan susulan pagi tadi.

“Menerusi siasatan, didapati papan iklan di premis berkenaan jelas memaparkan logo halal dan diiklankan halal,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pemilik premis berkenaan menerima notis penutupan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 selama 14 hari sehingga 15 Mei ini yang dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah Barat Daya.

Dalam pada itu, Azrul berharap tindakan tegas dapat dikenakan susulan kes itu supaya isu halal dan haram tidak dipermainkan sebegitu rupa demi keuntungan perniagaan mereka.- Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts