MENJAGA wuduk sememangnya perbuatan yang mulia. Malah, ia memudahkan kita untuk melakukan ibadah pada bila-bila masa.
Ada segelintir orang kadangkala berjaya memelihara air sembahyangnya hingga ke waktu solat berikutnya.
Sebaik sahaja masuk waktu, individu tersebut bingkas bangun untuk mendirikan Rukun Islam kedua berkenaan.
Bagaimanapun, terdapat juga sebilangan yang lain tetap mengambil wuduk semula meskipun air sembahyangnya yang sebelum ini tidak batal.
Antara menjaga wuduk dan memperbaharuinya, manakah yang paling afdal untuk mendirikan solat seterusnya?
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, menjaga wuduk dan sentiasa dalam keadaan berwuduk merupakan satu perilaku yang terpuji dan kita dapat bersedia serta lebih mudah untuk menunaikan ibadah waima yang fardu mahupun sunat.
Andai kata, kita memelihara air sembahyang hingga waktu solat berikutnya, katanya, memadai untuk kita menggunakan wuduk yang sama bagi mendirikan sembahyang berkenaan.
“Bagaimanapun, disunatkan untuk kita memperbaharui wuduk walaupun kita masih lagi dalam keadaan berwuduk. Ini kerana ia merupakan sunnah dan kebiasaan yang diamalkan oleh Rasulullah SAW,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Al-Kafi #1773: Manakah Yang Afdal, Menjaga Wuduk Atau Mengambil Wuduk Baharu Untuk Solat Seterusnya.
Dalam sebuah hadis daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata: “Sesungguhnya Rasulullah SAW berwuduk pada setiap kali solat. Aku bertanya: “Bagaimanakah kalian (para sahabat) lakukan?” Beliau (Anas RA) menjawab: “Pada kami cukup hanya satu wuduk sahaja jika tidak berhadas.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan al-Baihaqi)
Dalam hal itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, para ulama Mazhab Syafie berbeza pandangan tentang syarat-syarat bagi seseorang disunatkan memperbaharui wuduk.
Namun Imam an-Nawawi dalam Kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab menjelaskan, pandangan yang sahih dalam Mazhab Syafie adalah: “Para ulama mazhab kami (al-Syafie) bersepakat tentang sunat untuk memperbaharui wuduk iaitu seseorang yang sudah berwuduk kemudian dia berwuduk sekali lagi tanpa disebabkan oleh hadas. Bilakah ia disunat? Terdapat lima pandangan. Pandangan yang paling sahih adalah jika dia solat dengan wuduk yang pertama sama ada solat fardu atau sunat, maka disunatkan (memperbaharui wuduk). Jika tidak (solat fardu atau sunat), maka tidak disunatkan.”
Melihat fakta berkenaan, jelaslah bahawa sunat memperbaharui wuduk dan pada masa sama, memadai dengan air sembahyang sedia ada selagi mana tidak terbatal.
“Sesungguhnya perbuatan sentiasa memperbaharui wuduk itu merupakan sunnah Rasulullah SAW. Bahkan, Baginda SAW berwuduk setiap kali solat walaupun masih dalam keadaan berwuduk dan suci daripada hadas sebelumnya.
“Baginda juga banyak menyebut tentang kelebihan-kelebihan orang yang sentiasa berwuduk antaranya keluar segala dosa daripada anggota wuduk yang dibasuhnya,” katanya.
Tuntasnya, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan, perbuatan mengambil wuduk yang baharu adalah lebih afdal dan lebih baik.
“Ini kerana seseorang itu akan melakukan perbuatan mengambil wuduk dengan lebih banyak. Sesiapa yang lebih banyak perbuatan ibadahnya, maka lebih tinggi lagi kelebihan dan pahala yang diraihnya.
“Ia selari dengan kaedah fiqh yang menyebut ‘Sesuatu yang lebih banyak perbuatannya, maka lebih banyak kelebihannya’,” ujarnya. – Sinar Plus
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM