Merdeka kita apabila Al-Quran dimartabatkan

ustomarMIP16

 

Beberapa tahun sebelum Perang Dunia Pertama, PM Britain ketika itu iaitu William Eward Gladstone pernah secara terbuka berkata kepada media British : “Selama mana Muslim memiliki Al-Quran, kita tidak akan mampu menundukkan mereka. Kita harus mengambilnya dari mereka dan menjauhkan mereka dari Al-Quran, seterusnya menghilangkan kecintaan mereka kepada kitab suci mereka itu.”

Sesungguhnya ucapan Gladstone itu kini telah terjadi. Usaha mereka yang tidak kenal erti penat telah membuahkan hasil. Di Malaysia tidak ketinggalan, umat yang menyambut menyambut kemerdekaan ke-59 kini telah sangat jauh dari Al-Quran. Ramai kini hanya menjadikan Al-Quran sebagai aksesori sahaja, tidak lebih dari itu. Aksesori untuk hiasan di rumahnya. Ayat Al-Quran ditulis dalam kaligrafi dengan tinta emas, dibeli dengan harga yang mahal, namun seluruh isi rumah tidak faham pun apa maknanya, apa lagi mengamalkannya.

Al-Quran dijadikan aksesori sebagai bahan perasmian satu-satu institusi, tetapi institusi tersebut kelak mengajarkan ajaran yang bertentangan dengan Al-Quran. Al-Quran dijadikan aksesori perasmian pusat membeli-belah, tetapi gedung itu kelak menganjurkan aktiviti maksiat bertentangan ajaran Al-Quran.

Sebahagian ulama pula menggunakan Al-Quran untuk menghentam dan mengkafirkan saudara yang lain. Al-Quran dijadikan tukul untuk menghentam keras saudaranya sendiri.

Sebahagian lain hanya sekadar menggunakan ayat-ayat tertentu sebagai pelaris menjana bisnes, untuk memperoleh jodoh atau untuk tujuan duniawi yang lain. Sebahagian memilih-milih ayat-ayat tertentu mana yang sesuai dengan dirinya, dan menolak mana yang tidak sesuai dengannya. Sedemikian rendah tujuannya kita dengan Al-Quran.

Maka tidak menghairankan, apabila ada sedikit sahaja usaha agar ajaran Al-Quran diterapkan secara praktikal di dalam masyarakat seperti memartabatkan undang-undang Allah melalui penggubalan Rang Undang-Undang 355, pastinya berlaku penolakan keras dari pelbagai sudut. Ironinya, antara yang terawal menentang adalah daripada orang Islam sendiri atas alasan tidak tolerasi, ayat-ayatnya boleh ditafsir pelbagai tafsiran, masih belum sesuai lagi dan sepertinya, sekalipun undang-undang ini hanya khusus untuk warga Muslim sahaja.

Kita telah 59 tahun merdeka, namun demikianlah perhubungan kita dengan Al-Quran. Justeru segala usaha untuk mengembalikan kefahaman yang betul terhadap Al-Quran dalam diri umat ini adalah kerja yang besar. Hanya setelah Al-Quran dimartabatkan pada tempatnya yang sebenar dan menjadi tempat rujuk yang betul dalam segala aspek kehidupan, ketika itu barulah kita dengan bangga boleh menyatakan MERDEKA! Perjalanan masih jauh, tetapi ia tidak akan bermula kecuali dengan langkah-langkah pertama.

Ustaz Omar Kassim
Pengerusi Biro Dakwah ISMA

www.indahnyaislam.my

http://isma.org.my/v2/pejuang2016

Total
0
Shares
2 comments
  1. Ya Allah…Ya Rahman…Ya Rahim….bantulah kami dalam memertabatkan Suhuf-Suhuf-Mu Ya Allah….bantulah kami

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts