JEMPOL – Seorang guru tuisyen yang bergelar ibu tunggal mengakui kehidupannya berubah kepada lebih tenang dan bertambah baik sejak memeluk Islam hampir lima tahun lalu berbanding dahulu.
Lew Yen Fun atau Nur Atiqah Lew Lew Fut Nean, 56, turut menjelaskan tiada paksaan untuknya bertukar agama namun lebih kepada ingin mengenali ALLAH SWT dan kehidupan selepas kematian.
“Saya terdetik untuk masuk Islam apabila perasaan takut membuak-buak setiap kali adanya berita kematian dan saya selalu tertanya-tanya kalau saya mati saya ke mana, apa akan berlaku. Pada masa itu terlalu banyak persoalan tentang kematian yang membuatkan saya sangat takut.
“Saya cuba cari kebenaran dan jawapan terhadap pelbagai persoalan dalam setiap agama tetapi yang saya dapat jawapannya dalam Islam,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di pusat tusyennya di Bandar IOI, Bahau pada Isnin.
Malah jelas anak bongsu daripada tiga beradik ini, sebaik mengucap kalimah syahadah jam 10.32 malam pada Jun 2018 umpama segala masalah yang membelenggu dirinya hilang dan jiwanya lebih tenang.
“Jika diimbas kembali, saya ini seorang yang panas baran, suka menjerit-jerit ditambah pula dengan pelbagai masalah termasuklah rumah tangga. Anak perempuan saya pun kata saya macam ‘devil’.
“Dia juga mengaku saya berubah selepas memeluk Islam, dia kata mak macam orang lain, tak ada marah-marah macam dulu.
“Saya juga seorang yang sangat kedekut, dahulu fikir wang itu saya punya kenapa perlu beri pada orang lain tetapi selepas Islam baru saya belajar erti bersedekah, sebenarnya rezeki milik ALLAH dan kemudian kalau kita kekurangan rezeki itu ia merupakan satu ujian,” katanya.
Dalam pada itu, Nur Atiqah berkata, tidak menafikan pada awalnya, keluarganya sukar menerima keputusannya itu sehingga diberi amaran supaya membuka hijab apabila pulang ke rumah keluarganya di Seremban.
“Ibulah orang pertama tanya saya, betul atau tidak saya sudah menukar agama kemudian bapa menangis dan memberitahu dia kehilangan seorang anak.
“Saya jelaskan, mereka tidak kehilangan saya sebaliknya akan menjadi lebih baik daripada sebelum ini. Saya juga mengekalkan nama bapa dalam kad perakuan Islam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) supaya bapa memahami bahawa saya tetap anaknya walaupun berbeza agama,” katanya yang sudah jatuh cinta dengan Islam sejak di bangku sekolah.
Tambahnya, ibu dan bapanya kini tinggal bersamanya di sini selepas kesihatan masing-masing merosot dan terlantar. – Sinar Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM