Jemaah syukur dapat ziarah, hayati perjuangan Rasulullah, sahabat

MADINAH: Perasaan sebak dan sayu mengusik hati kira-kira 1,100 jemaah haji Malaysia yang menjejakkan kaki ke beberapa tempat suci dan bersejarah melalui program Ziarah Dalam serta Ziarah Luar di sini, semalam dan kelmarin.

Mereka yang juga jemaah haji daripada empat kumpulan penerbangan (KT) terawal tiba di sini, Ahad lalu, antara lain mengadakan Ziarah Dalam ke Masjid Nabawi, Makam Rasulullah SAW dan Perkuburan Al-Baqi, selain Ziarah Luar ke Masjid Quba, Bukit Uhud meliputi Makam Syuhada dan Ladang Kurma Majed dengan menaiki 28 bas.

Hashim Nayan, 70, dari Kedah, berkata ziarah ke tempat bersejarah menambah lagi penghayatannya terhadap perjuangan Rasulullah SAW bersama sahabat Baginda dalam mempertahankan Islam.

“Apabila ziarah ke tempat bersejarah seperti Bukit Uhud, boleh dibayangkan susah payah Rasulullah SAW bersama sahabat berjuang sehingga kita dapat mengamalkan Islam dengan senang sekarang.

“Amat penting untuk mengetahui sejarah Islam dan menyedari pengorbanan besar dilakukan Rasulullah SAW bersama sahabat Baginda, supaya kita sentiasa berusaha memperbaiki diri menjadi umat Islam yang semakin baik,” katanya.

Hasan Salleh, 70, dari Banting, Selangor, turut bersyukur berpeluang ziarah ke tempat bersejarah untuk melihat lebih dekat perjuangan dan pengorbanan Rasulullah SAW bersama sahabat.

“Iamenimbulkan keinsafan… terasa sedih dan sayu membayangkan susah payah Baginda bersama sahabat berjuang dan menempuh pelbagai dugaan serta cabaran sehingga bergadai nyawa demi Islam,” katanya yang kali pertama menjejakkan kaki di Tanah Suci bersama isteri, Maimunah Omar, 70.

Sementara itu, Maimunah mengaku berasa cukup seronok berpeluang ziarah ke pelbagai tempat bersejarah di Tanah Suci.

“Selama ini hanya membaca atau menonton mengenainya di televisyen, namun kini Allah SWT mengizinkan dapat menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

“Alhamdulillah, sejak perjalanan Ziarah Luar bermula dengan ke Masjid Quba, saya rasa kaki saya ringan dan pantas berjalan. Hilang semua perasaan penat dengan izin kejagaan Allah SWT. Itulah nikmat keberkatan di bumi Tanah Suci ini.

“Apabila menerima tawaran menunaikan haji, tahun ini, tidak tercakap perasaan ketika itu sehingga sujud syukur. Alhamdulillah, Allah Maha Berkuasa.

“Saya berharap hati saya sentiasa bersih tanpa ada riak, bongkak atau hasad dengki. Saya memohon kepada Allah SWT, mudah-mudahan dikurniakan haji dan umrah yang mabrur,” katanya.- Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts