Boleh makan masakan bukan Islam tapi dengan syarat

Pantang melihat kedai viral, pantas sahaja orang kita ‘serbu’ tempat berkenaan.

Lebih-lebih lagi hidangan rare atau makanan yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia seperti nasi lemak dan roti canai.

“Orang kata sedap, saya nak cuba juga. Tak kisahlah walaupun kena beratur panjang dan tunggu lama pun.”

Begitulah alasan klise yang acap kali kita dengar. Bukan itu sahaja, ada segelintir orang yang sanggup datang dari jauh atau negeri berasingan semata-mata untuk menikmati dan merasai sendiri makanan tersebut.

Ya, begitulah hebatnya penangan ‘kuasa tular’. Cepat sahaja cerita sebegitu tersebar luas.

Meskipun demikian, ada sesuatu yang menggusarkan apabila ia melibatkan makanan yang dimasak oleh orang bukan Islam. Bolehkah Muslim menjamah hidangan tersebut?

Sinar Islam Plus merujuk kepada bebenang di Twitter milik pendakwah dan penulis terkemuka, Ustaz Addien Abdul Kadir mengenai hal itu.

Beliau memulakan perkongsiannya dengan menukilkan petikan daripada Kitab Jami’ li Ahkam al-Quran yang bermaksud: “Masakan orang bukan Islam halal dimakan walaupun bukan dalam keadaan darurat. Yang tak boleh makan hanya daging yang mereka sembelih atau masakan yang mengandungi benda haram. Selain itu, semuanya halal walaupun dimasak oleh non Muslim.”

Melihat kepada pernyataan tersebut, kata Ustaz Addien, sama ada seseorang berstatus Muslim atau tidak, ia tidak menjadi kayu ukur bagi sesuatu makanan yang dimasak oleh mereka halal atau haram.

Sebaliknya, jelas beliau, apa yang menjadi ukurannya adalah zat dan bahan ketika memasak.

“Andai orang Islam masak daging babi, ia tetap haram. Kalau orang bukan Islam masak ayam, sayur dan nasi, ia tetap halal,” ungkapnya.

Ia selari dengan pandangan Qatadah iaitu murid kepada Anas bin Malik yang menjelaskan: “Boleh makan makanan Majusi (penyembah api) selain sembelihannya.” (Musannaf Abdul Razzaq 6/109)

Ustaz Addien menambah, perkara tersebut sepatutnya tidak menjadi isu.

“Tak pernah jadi isu sejak ribuan tahun. Sebab itu penting beragama dengan ilmu, bukan rasa-rasa.

“Waktu tak darurat pun kita boleh makan, apatah lagi waktu semua orang tak kira bangsa dan agama sedang dilanda bencana alam,” katanya.

Jik kita mahu menjamah hidangan dimasak oleh orang bukan Islam, pastikan ia dimasuk menggunakan peralatan yang bebas daripada makanan haram. Andai tiada, cukup jika peralatan tersebut dibasuh bersih.

Dalam hal itu, Ustaz Addien menjelaskan, Rasulullah SAW pernah memberi panduan bahawa jika kita mahu makan hidangan dimasak oleh orang bukan Islam, pastikan ia dimasak menggunakan peralatan yang bebas daripada masakan haram.

“Jika tiada, pastikan alatan itu dibasuh bersih, kemudian dibolehkan makan dan minum,” katanya.

Perkara itu ada dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Tha’labah al-Khusyani yang bertanya Baginda: “Sesungguhnya kami berjiran dengan ahli kitab. Meraka biasa memasak daging khinzir di dalam periuk-periuk mereka dan biasa meminum khamar di dalam bekas-bekas mereka. Rasulullah SAW menjawab: “Jika kalian dapat menggunakan (perkakas-perkakas) yang lain, maka makan dan minumlah dalamnya. Jika kalian tidak dapat selaonnya, maka cucilah ia dengan air kemudian makan dan minumlah.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Pendakwah itu kemudian mengemukakan pandangan Mazhab Syafie yang menyatakan, makan dari alatan yang pernah digunakan untuk memasak hidangan tidak halal, kemudian dibersihkan, hukumnya adalah makruh.

“Sekali lagi, suka saya ingatkan bukan siapa yang masak jadi ukurannya, tetapi bahan yang dimasak.

“Kalau yang masak khinzir itu orang Islam, alatan itu nantinya pun jadi makruh bila digunakan,” terangnya panjang lebar. – Sinar Islam Plus

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts